Program nyanyian terkemuka Gegar Vaganza (GV) bakal kembali menyengat para peminat dengan musim kelapan. Baru-baru ini, senarai 13 orang peserta yang akan menggegarkan pentas ulung itu telah pun diumumkan.
Antara nama-nama besar yang mencuri tumpuan termasuklah Bandi Amuk, Dato’ Fazley Yaakob, Aliff Aziz, Kumpulan Nico dan Duo Senario yang disertai Yassin dan Saiful Apek. Musim ini juga menampilkan bekas pemenang Anugerah Juara Lagu 21, Adibah Noor.
Namun, ada pihak yang nampaknya tidak berpuas hati dengan penyertaan penyanyi wanita itu dalam program nyanyian tersebut. Hal ini berikutan beberapa ciapan lama di laman Twitter Adibah Noor (@adibahnoor) apabila ditanya jika dia akan menyertai GV satu hari nanti.
Isu yang dibawa melalui laman Twitter itu turut disertai beberapa tangkap layar dari tahun-tahun sebelum ini, di mana Adibah Noor berkali-kali menafikan penyertaannya dalam program nyanyian tersebut.
Respon seperti ‘nope’ dan ‘no thanks’ dari penyanyi tersebut sekaligus menjadi bahan ungkitan netizen yang menyatakan beliau ‘cakap tak serupa bikin’.
Walau bagaimanapun, pelakon filem Sepet itu membalas tweet tersebut dan menyatakan hasratnya menyertai GV hanyalah untuk menghiburkan peminat-peminatnya. Adibah Noor turut menegaskan bahawa pemikiran manusia boleh diubah bila-bila masa dan dirinya sendiri tidak dikecualikan.
Alahai, belum sempat gelanggang dibuka, dah ada yang cuba nak api-apikan peserta nampaknya.
Sumber: Twitter