Empat anggota polis berpangkat Koperal dan Lans Koperal didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan merompak seorang guru lelaki sekolah swasta sebanyak RM8,850 dan menyebabkan kecederaan.
Syazuwan Nik Mamat ,31, Muhammad Bazil Rosly ,31, Mohd Masruz Rahmat Masuhut ,28, dan Mcallister Nicholl Helbron, 28 bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dihadapan Hakim Mahyon Talib.
Keempat-empat tertuduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan itu terhadap A.S James Anthony, 47 tahun di tempat letak kereta Pangsapuri Berembang Indah di Wangsa Maju pada pukul 4 pagi, 4 Mei 2019.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah Seksyen 34 kanun sama dengan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan, lapor Harian Metro.
Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Malah mereka juga perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan. Mahkamah turut menetapkan 10 September sebagai sebutan semula kes.
Baca : Besan Najib Razak Jadi Suspek Dalam Kes Rasuah Polis Di Indonesia

