Penjawat awam di negara ini telah menerima teguran daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Bakar, berhubung penggunaan bahasa yang dianggap terlalu tinggi dan sukar difahami oleh masyarakat umum.
Teguran ini dibuat dalam usaha untuk merapatkan jurang komunikasi antara jentera kerajaan dan rakyat.
Dalam kenyataannya, Tan Sri Shamsul Azri Bakar menekankan bahawa komunikasi yang berkesan merupakan kunci utama dalam memastikan dasar dan maklumat kerajaan sampai kepada semua lapisan masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis “Reformasi Satu Kemestian Bersama Ketua Setiausaha Negara Sempena Setahun Reformasi Perkhidmatan Awam” .
Memberikan contoh ketidakfahaman rakyat biasa terhadap penerangan mengenai Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), di mana maklumat tersebut hanya difahami oleh golongan profesional atau mereka yang mempunyai latar belakang kewangan.
Menurut beliau, keadaan ini menyebabkan majoriti rakyat tidak dapat memahami apa yang sebenarnya sedang berlaku.
‘Bahasa Rakyat’ sebagai Pilihan Utama
Menyedari masalah tersebut, Tan Sri Shamsul Azri Bakar telah mengarahkan semua unit komunikasi korporat di pelbagai kementerian dan agensi untuk segera memperbaiki kaedah komunikasi mereka.
Beliau menyarankan agar penjawat awam menghentikan penggunaan “bahasa Putrajaya” yang formal dan berbelit, sebaliknya beralih kepada “bahasa rakyat” yang lebih ringkas dan mudah difahami. Langkah ini diharapkan dapat menghilangkan kekeliruan dan memastikan maklumat penting dapat diterima oleh semua.
Selain itu, beliau juga yakin bahawa dengan penambahbaikan dalam kaedah komunikasi ini, jurang yang wujud antara pelbagai generasi, dari golongan muda, separa tua, sehinggalah yang tua dapat dikurangkan.
Komitmen ini menunjukkan keseriusan pihak kerajaan dalam memastikan setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang, dapat memahami dan terlibat secara aktif dengan dasar-dasar yang dilaksanakan oleh negara.