Situasi asap jerebu yang tebal membelenggu Indonesia dan negara jiran berdekatannya telah menyebabkan orang awam mengalami masalah kesihatan dan tidak selesa untuk bernafas.
Namun tidak pula kita jangka, perkara ini menjadi makin buruk sehingga ia telah meragut dua nyawa tidak berdosa iaitu bayi berusia 4 bulan dan seorang warga emas di Indonesia. Allahhh…
Bayi meninggal dunia akibat jangkitan saluran pernafasan
Menurut Astro AWANI, bayi 4 bulan tersebut yang bernama Elsa Fitaloka telah meninggal dunia akibat jangkitan saluran pernafasan ketika sedang menerima rawatan di hospital Rumah Sakit Ar-Rasyid pada Ahad lepas.
Kematiannya juga telah disahkan oleh Agus Darwanto iaitu anggota majlis perbandaran Desa Talang Buluh, Banyuasin ketika dihubungi detikNews.
Menurut Agus, bayi terbabit merupakan anak kepada pasangan Nadirun dan Ita Septiana dari Desa Talang Buluh yang terletak di daerah Banyuasin, Sumatera Selatan.
“Elsa mula sesak nafas pada malam semalam (Sabtu) dan masih dirawat di rumah. Namun, melihat keadaannya yang semakin parah pada pagi Ahad, dia dirujuk ke rumah sakit Ar-Rasyid di Palembang dan meninggal dunia,” kata Agus.
Lelaki 59 tahun ditemui mati terduduk di bawah pokok dengan asap tebal menyelubungi
Manakala menurut laporan akhbar The Star pula, seorang lelaki yang tinggal di Pekanbaru telah ditemui mati pada 25 Ogos lalu ketika sedang duduk di bawah satu pokok dalam keadaan sekeliling penuh dengan asap tebal di kawasan tanamannya.
Mangsa, Helmy Omar, 59 tahun pada mulanya dikatakan hilang seharian sebelum ditemui dalam keadaan menyedihkan meninggal di bawah pokok tersebut sekitar jam 9 pagi.
Dia yang tinggal di daerah Rimbo Panjang itu memang terkenal dengan pembakaran tanah gambut hingga menyebabkan asap pekat.
Menurut anak mangsa, bapanya sebelum ini sihat dan tidak ada masalah sakit jantung. Mungkin asap jerebu yang pekat itu jadi puncanya.
“Saat ditemukan kondisi almarhum sedang bersandar di batang pohon seperti beristirehat, sedang meringkuk,” katanya.
“Salah mereka tapi kesian bayi yang jadi mangsa”
Rata-rata netizen yang membaca kisah ini telah meletakkan semua kesalahan kepada Indonesia kerana membiarkan rakyat menderita gara-gara asap jerebu.
Apa-apapun kita doakan yang terbaiklah buat semua yang terlibat dalam bencana ini.