FBI dan pihak berkuasa Utah telah mengeluarkan imej baharu seorang individu yang menjadi person of interest berhubung dengan insiden tembakan yang mengorbankan Charlie Kirk, pengasas organisasi aktivis belia konservatif Turning Point USA, semasa satu acara di Utah Valley University pada hari Rabu.
Ketika pencarian penembak kini yang masih diteruskan, pejabat FBI Salt Lake City menerusi X, berkongsi dua imej individu tersebut yang dilihat memakai topi besbol dan cermin mata hitam, dirakam dalam sebuah tangga.
Menurut Jabatan Keselamatan Awam Utah, imej tersebut diambil daripada rakaman keselamatan kampus sejurus sebelum insiden tembakan berlaku.
Pada sebelah petang Khamis, Jabatan Keselamatan Awam Utah turut mengeluarkan beberapa gambar tambahan individu tersebut, di mana dia kelihatan membawa beg galas hitam sambil memakai baju bercorak bendera Amerika.
FBI menawarkan ganjaran sehingga $100,000 (RM 421,000) untuk maklumat yang membawa kepada pengecaman dan penangkapan pihak bertanggungjawab atas pembunuhan Kirk.
Senjata api berkuasa tinggi ditemui
Dalam usaha memburu suspek yang dipercayai seusia pelajar kolej, pihak berkuasa berkata pada Khamis bahawa mereka sedang mengesan individu berkenaan.
FBI juga memaklumkan telah menemui senjata yang dipercayai digunakan dalam tembakan maut itu. Menurut ejen khas FBI Salt Lake City, Robert Bohls, senjata tersebut ialah rifle bolt action Mauser .30-06 model lama yang dibalut dengan tuala, ditemui di kawasan berhutan berdekatan lokasi tembakan.
Lokasi penemuan senjata itu dipercayai sepadan dengan laluan lari suspek, kata sumber penguatkuasa undang-undang.
Peluru yang digunakan masih berada dalam laras, sementara tiga peluru lain yang belum digunakan mengandungi tulisan dengan mesej berunsur ‘transgender dan anti-fasis’ menurut maklumat awal.
Maksud tulisan itu masih belum jelas, dan pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada ia benar-benar motif atau sekadar cubaan mengelirukan siasatan.
Senjata dan peluru tersebut akan dihantar ke makmal utama FBI di Quantico, Virginia, untuk analisis forensik lanjutan termasuk cap jari dan DNA. Selepas itu, senjata akan dileraikan untuk maklumat pengimport.
Sumber: ABC News