Tular sebuah hantaran di Facebook, memaklumkan kehilangan seorang pelajar perempuan sekolah rendah yang bernama Siti Dhia Batrisyia Mohd Chairil Anuar.
Difahamkan, kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dari Sekolah Kebangsaan Perempuan Pudu tidak pulang ke rumah sejak Selasa (12 Mac).
Berita kehilangan anak yang sudah beberapa hari tidak pulang ke rumah tanpa sebarang khabar pastinya membuatkan perasaan ibu tidak tenteram.
Artikel berkaitan: “Dia bukan anak yatim piatu…” – Pelajar Tahfiz Termenung Di Laman Sekolah Saat Musim Cuti
Anak hilang lepas ditegur
Menurut ibu mangsa, Syarifah Rosfazila Syed Muhammad Fazili, 41, sebelum hilang anak perempuannnya tidak hadir ke sekolah pada hari kejadian kerana mahu membuat kejutan buat dirinya.
Katanya berlaku perselisihan faham antara mereka, dipercayai punca pelajar perempuan itu bertindak keluar dari rumah dan tidak pulang sehingga kini.
“Saya dimaklumkan oleh seorang gurunya yang Dhia tak hadir pada hari itu. Sedangkan pada sebelah pagi, dia pakai baju sukan sekolahnya. Dia kata, dia pergi beli barang buat kejutan untuk saya.
“Sebab itu saya tegur dia. Dia nafikan dan jawab, ‘semua tak percaya padanya’. Saya kata nanti kita pergi ke sekolah dan minta dia cakap sendiri dengan bapanya mengenai hal itu.
“Kemudian saya beritahu nak keluar rumah untuk beli barang dapur. Sekejap saja saya keluar, tapi apabila balik, dia dah tak ada,” ujar wanita itu.
Dia mula berasa tidak sedap hati selepas anaknya masih tidak pulang menjelang waktu berbuka puasa dan berlarutan sehingga masuk ke hari ini.
“Dhia, baliklah ya”
Menurut wanita itu, dia sudah pun bertanya kepada jiran dan rakan sekolah anaknya tapi masih belum mendapat sebarang perkembangan.
Katanya, Dhia ada pergi ke rumah rakannya tetapi mereka tidak tahu anaknya ke mana selepas itu.
“Ini kali pertama kejadian seperti ini berlaku. Tak berselera saya nak jamah buka puasa memikirkan keselamatannya,” katanya dalam nada sebak.
Dia menambah, nalurinya kuat mengatakan bahawa Dhia sedang berada di rumah rakannya. Justeru, dia merayu anak gadisnya segera pulang selain meminta orang ramai untuk menghubunginya jika ada maklumat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya mengesahkan satu laporan polis telah diterimanya dan kes diklasifikasikan sebagai orang hilang.
Sumber: mStar