in

“Dah meninggal dlm 2 hari” – Pelik Kawan Tak Angkat Call, Pergi Rumah Nampak Mayat Terduduk di Meja Makan

Kehairanan seorang lelaki terhadap rakannya yang tidak menjawab telefon apabila dihubungi membuatkannya terdetik untuk pergi ke rumah rakannya itu. Menurut Sinar Harian, lelaki itu yang berasa bimbang terus ke rumah rakannya kira-kira jam 7 malam semalam apabila dia gagal dihubungi beberapa kali.

Alangkah terkejutnya apabila dia menemui rakannya itu sudah meninggal dunia dalam keadaan terduduk di meja makan dalam rumahnya di Kampung Tengkek, Kuala Pilah. Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata mayat mangsa ditemukan dalam keadaan telah berbau dan dianggarkan sudah meninggal dunia lebih kurang dua hari.

“Sebaik tiba di rumah rakannya itu, dia mendapati kediaman tersebut berkunci dan panggilannya turut tidak dijawab sebelum terhidu bau busuk di dalam rumah.”

“Pihak polis terpaksa memecah masuk kediamannya dan menemui seorang lelaki berseluar jeans, tidak berbaju telah meninggal dunia di bahagian dapur dalam keadaan terduduk di meja makan.”

Pemeriksaan pada tubuh badan mangsa yang juga merupakan seorang mekanik itu mendapati tiada unsur-unsur perbuatan jenayah. Selain itu, barang berharga miliknya seperti duit dan dokumen penting ditemui berada di tempat kejadian.

Mangsa berusia 49 tahun itu tinggal bersendirian di rumah berkenaan sejak 5 tahun lepas dan bekerja sebagai mekanik motosikal di bengkel bersebelahan rumahnya.

“Berdasarkan siasatan awal mangsa dipercayai mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung tetapi didakwa tidak membuat rawatan lanjut di hospital sebaliknya hanya membeli ubat di kedai dan farmasi.”

“Dia merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dan masih belum berkahwin.”

Mayatnya telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Baca: Kes Bunuh Jalan Bangsar: Mayat Ditemui Ada Kesan Tetak, Dijumpai Terbaring Tak Sedar Diri Atas Jalan