Berhubung isu politik Anwar Ibrahim yang kini menjadi bualan hangat rakyat di Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengingatkan agar semua anggota Jemaah Menteri dan Ahli-Ahli Parlimen kerajaan untuk memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri, dalam apa juga ketidaktentuan.
Menurut MalaysiaGazette, beliau turut berkata semua anggota Jemaah Menteri dan Ahli-Ahli Parlimen kerajaan tidak sepatutnya bersikap menikmati segala kelebihan tetapi pada masa sama tidak menyokong kepimpinan sedia ada.
Kerajaan perlu menumpukan usaha untuk membina semula negara, bukanlah sandiwara politik yang merugikan. Justeru, sesiapa (anggota kerajaan) yang bertekad tidak mahu menyokong kepimpinan kerajaan sedia ada diminta berundur secara elok.
Henti bebankan rakyat
Tegasnya lagi, sejak kemelut politik ini bermula ramai rakan pemimpin luar negara menyatakan kebimbangan mereka terhadap situasi di Malaysia. Terutamanya, dalam konteks Covid-19 yang tidak mencerminkan imej sebenar negara di mata dunia, apatah lagi kerajaan dikatakan sedang dalam usaha untuk menjalin pelbagai bentuk kerjasama dengan negara lain termasuklah isu wabak ini serta pemulihan ekonomi tempatan.
“Rakyat sudah cukup terbeban dengan isu ekonomi dan Covid-19 sehingga ada yang dibuang kerja, dipotong gaji, tidak dapat pulang jumpa anak isteri berbulan-bulan, kehilangan ahli keluarga akibat wabak ini.”
“Maka jangan kita tambah lagi penderitaan serta beban mereka dengan isu-isu politik kerana kita juga perlu ingat, sekiranya situasi politik negara berterusan tidak stabil, usaha yang dilaksanakan kerajaan demi rakyat selama beberapa bulan ini akan menjadi sia-sia.”
“Pendirian saya teguh dan jelas apabila saya mengambil keputusan untuk menyertai Kabinet ini, ia berdasarkan prinsip dan sokongan penuh terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerajui tampuk kepimpinan negara.”
Tak peduli rakyat, hanya fikir kepentingan peribadi
Hishammuddin berkata, pengumuman Anwar itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana propaganda sebegitu sudah pernah dilakukan Presiden PKR berkenaan berkali-kali sejak April 2008.
Beliau juga berkata Anwar sepatutnya berasa malu dengan diri sendiri kerana tergamak membuat perancangan menukar kerajaan sedangkan negara masih berperang dengan Covid-19. Hal itu menunjukkan beliau langsung tidak mempedulikan kebimbangan rakyat sebaliknya hanya fikir tentang kepentingan peribadi untuk menjadi Perdana Menteri.
“Cukup-cukuplah (Anwar), rakyat sudah penat dengan semua sandiwara ini, sudah lebih 20 tahun negara terpaksa melalui krisis politik hanya kerana Anwar hendak menjadi Perdana Menteri yang sebenarnya langsung tidak menguntungkan negara.”
“Secara peribadi, UMNO tidak perlu layan propaganda Anwar Ibrahim dan tujuan sidang media semalam adalah untuk mengalihkan perhatian khususnya menjelang hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah beberapa hari lagi seolah-olah mahu mengelirukan dan menanam rasa bimbang rakyat terhadap kestabilan Kerajaan Persekutuan.”
“Apa jua yang diumumkan oleh Anwar Ibrahim semalam, perkara paling penting untuk parti ialah fokus kepada usaha memenangi PRN Sabah, jentera UMNO dan Barisan Nasional telah berpenat-lelah dan berjuang selama berminggu berkempen demi memenangkan calon-calon kita.”
“Jangan rencatkan usaha, menganggu fokus dan mematahkan semangat mereka dengan kenyataan yang boleh menimbulkan tanda tanya dalam kalangan ahli UMNO dan jentera Barisan Nasional.”