Tindakan penyanyi Nubhan Ahmad, 36, mengeluarkan barangan milik bekas isterinya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau Dr Fie, 35, dari kediaman yang didiami wanita itu bersama anak-anak mereka dibuat kerana dia berhasrat untuk menetap semula di rumah berkenaan.
Perkara itu dimaklumkan peguam syarie yang mewakili Nubhan, Mohd Redzuan Ramli, yang menjelaskan tindakan tersebut bukan satu kesalahan di sisi undang-undang memandangkan kediaman terbabit turut dimiliki anak guamnya.
Artikel berkaitan: “Alhamdulillah, saya syukur sangat” – Dr Fie Dapat Hak Penjagaan Penuh Tiga Anak
Artikel berkaitan: “Tergamaknya kau!”- Dr Fie Dakwa Pemberian Harta & Klinik Oleh Bekas Suami Hanya Sekadar ‘Content’
“Nubhan meminta pendapat saya untuk menduduki kembali rumah itu (yang dibeli) atas namanya. Saya menjelaskan bahawa tiada kesalahan dalam undang-undang dan hendaklah dibuat secara baik dan berhemah.
Saya juga dimaklumkan bahawa tempoh iddah bekas isteri (Dr Afifah) sudah lama selesai atau tamat. Sehingga kini juga Nubhan masih lagi menanggung pembayaran penuh rumah itu berserta bil utiliti.
Bagaimanapun, saya turut dimaklumkan bahawa proses pengalihan barang-barang peribadi bekas isteri dibuat Nubhan secara kemas dan teratur menggunakan khidmat syarikat angkut yang berdaftar.
Jadi, dakwaan (Dr Afifah) bahawa barang-barang peribadi dicampak keluar adalah tidak benar dan fitnah,” katanya.
Menurut Mohd Redzuan, Nubhan turut memaklumkan terdapat beberapa perkara yang didakwa melanggar undang-undang ditemui selepas dia memasuki semula kediaman itu dan perkara berkenaan akan dibawa dalam kes harta sepencarian.
“Apapun, saya memang dimaklumkan oleh Nubhan bahawa segala proses pengalihan barangan peribadi bekas isteri itu sudah dibuat dengan sangat baik dan cermat.
Malah, sekiranya ada kecacatan di atas perkara itu (barangan dialihkan), Nubhan akan membayar ganti rugi.
Nubhan juga pada bila-bila masa bersedia untuk menyedia atau menanggung kos sewaan rumah untuk anak-anaknya yang kini tinggal bersama bekas isteri sekiranya itu yang dimahukan.
Manakala bagi anak-anak pula bebas untuk keluar masuk rumah itu tanpa had,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Redzuan berkata Nubhan sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang didakwa menabur fitnah, membuat spekulasi jahat serta mengapi-apikan isu berkenaan di media sosial.
Semalam, Dr Fie menerusi hantaran dimuat naik di Threads meluahkan rasa marah dan kecewa selepas mendapati pelbagai barangan, termasuk barangan peribadi miliknya, telah dikeluarkan dari rumah yang didiaminya.
Dr Fie yang ketika ini bercuti di luar negara menyifatkan perbuatan itu sebagai kejam dan mengakui sedih diperlakukan sedemikian ketika ketiadaannya di rumah.
Doktor gigi itu turut meluahkan rasa kasihan terhadap ibu bapanya selepas melihat barangan miliknya berada di rumah keluarga tanpa sebarang notis.
Menurut ibu tunggal kepada tiga cahaya mata itu dalam hantaran lain, tangannya menggigil ketika menaip luahan tersebut dan berharap pihak berkaitan dapat bersabar untuk proses perbincangan berhubung isu harta sepencarian.
Sumber: Harian Metro
