Pengguna jalan raya pastinya sudah masak dengan keadaan jalan yang tidak rata dan berlubang. Hal ini bukan sahaja merosakkan tayar kereta malah membahayakan nyawa pengguna, lebih-lebih lagi pada waktu malam mahupun ketika cuaca buruk.
Baru-baru ini, difahamkan terdapat jalan yang mempunyai lubang besar di Jalan Bukit Berlian Melaka. Menurut Free Malaysia Today, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YB Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah yang juga memegang kerusi di Tangga Batu, Melaka telah menggunakan cara yang lain dari yang lain bagi membela nasib penduduk.
Pada 12 Februari yang lalu, beliau telah memuat naik entri di Facebook berkenaan lubang yang terdapat di laluan tempat tarikan pelancong di kawasan tersebut. Namun, usahanya itu tidak mendapat perhatian kerana tiada tindakan yang diambil oleh pihak yang sepatutnya.
Beliau yang sememangnya aktif di Facebook kemudian sekali lagi telah menggunakan laman sosial tersebut sebagai platform untuk menyampaikan point. Di dalam entri Facebook miliknya, beliau telah meminta pihak bertanggungjawab supaya menampal jalan yang berlubang bagi mengelakkan kecelakaan.
Tidak cukup dengan itu, beliau turut memuat naik gambar sedang bersila dihadapan lubang tersebut sambil berdoa. Menurut WORLD OF BUZZ, entri beliau kemudian tular serta merta dan mendapat banyak perkongsian. Lebih mengejutkannya, dalam masa 12 jam sahaja, jalan berkenaan yang sudah lama berlubang, akhirnya dibaiki!
Terbaru, YB Datuk Dr. Abu Bakar menaikkan satu lagi entri di Facebook dan memanjatkan kesyukuran kerana menurutnya doanya telah termakbul. Kata beliau lagi, pihak bertanggungjawab memberitahu bahawa tampalan tersebut hanya sementara dan akan diturap sepenuhnya pada hari Khamis minggu ini.
Kena buat macam ni ke baru pihak bertanggungjawab nak ambil tindakan?
Baca: “Orang minta tolong sama you, you tak mau tolong!” – Penduduk Berang Tengking ADUN DAP Pulau Pinang