in

“Beliau tidak menaiki penerbangan yang dijadualkan” – Agensi Umrah Sahkan Pencarian Nadia Kesuma Diteruskan Di Jeddah

syaz ft 2026 01 16T161926.135

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Pelakon filem Kudeta, Nadia Kesuma, dilaporkan masih belum dapat dikesan selepas penerbangannya dari Kuala Lumpur ke London yang singgah transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah.

Perkara itu disahkan oleh agensi umrah yang menguruskan perjalanan berkenaan, Nuh Travel & Tours Sdn Bhd (Nuh Travel), menerusi satu kenyataan hari ini.


Menurut Nuh Travel, Nadia atau nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim, merupakan salah seorang jemaah yang menyertai Pakej Umrah Ziarah London dan Paris bersama 21 jemaah lain.

Artikel berkaitan: Pelakon Nadia Kesuma Gagal Dijejaki Lepas Tiba Di Jeddah, Hantar Mesej Terakhir ‘I Met Stranger’

Artikel berkaitan: Jasad Kanak-kanak 4 Tahun Yang Hilang Akibat Ditarik Ombak Akhirnya Ditemui

Nuh Travel memaklumkan, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah untuk transit sebelum meneruskan perjalanan ke London, semua jemaah termasuk Nadiah telah diberikan taklimat oleh ketua rombongan.

“Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah bagi tujuan transit sementara sebelum meneruskan penerbangan ke London, semua jemaah termasuk Nadiah diberikan taklimat oleh ketua rombongan Nuh Travel.

Jemaah dimaklumkan untuk berkumpul semula di lokasi yang ditetapkan selepas selesai urusan peribadi seperti ke tandas dan berehat.

Namun demikian, ketika semua jemaah berkumpul dan beratur untuk penerbangan seterusnya ke London, Nadiah tidak berada bersama kumpulan.” katanya.

Susulan kehilangan itu, ketua rombongan segera memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak pengurusan Lapangan Terbang Jeddah sebelum beberapa pengumuman awam dibuat.

Pencarian turut dilakukan di sekitar kawasan lapangan terbang namun gagal menemui pelakon berkenaan.

“Usaha pencarian turut dilakukan ketua rombongan di sekitar kawasan lapangan terbang, namun beliau masih gagal ditemui.

Oleh kerana tempoh menunggu yang lama dan arahan operasi penerbangan, pesawat akhirnya berlepas ke London tanpa kehadiran beliau.” katanya lagi.

Menurut kenyataan sama, pihak pengurusan Nuh Travel di Malaysia segera dimaklumkan dan tindakan susulan diambil dengan menghubungi petugas di Makkah serta Jeddah, selain memaklumkan perkara itu kepada suami Nadia Kesuma dan pihak muassasah di Arab Saudi.

Percubaan untuk menghubungi telefon bimbit beliau juga dibuat, namun tiada sebarang jawapan diterima dan mesej yang dihantar masih belum dibaca setakat ini.

Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, Nadiah masih belum dapat dikesan, dan pihak Nuh Travels difahamkan akan terus komited menjalankan usaha pencarian secara aktif bersama pihak berkuasa di Arab Saudi.

Dalam masa sama, Nuh Travel turut menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang tidak sahih kerana ia boleh menjejaskan usaha pencarian.

Sebelum ini, media melaporkan kehilangan Nadia Kesuma selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah, berdasarkan makluman rakan baiknya yang juga Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS), iaitu pelakon Anne Abdullah.

Sumber: Facebook

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.