in

Kembali Kotor Lepas Dibersihkan, DBKL Kompaun Flat ‘Viral’ Di KL

Dbkl Flat Viral Di Kl

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap Badan Pengurusan Bersama (JMB) Hicks Flat di Bukit Bintang selepas didapati masih gagal mematuhi arahan yang telah dikeluarkan berkaitan tahap kebersihan kawasan tersebut.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu dibuat susulan lawatan pemeriksaan yang dijalankan hari ini selepas lawatan rasmi Datuk Bandar Kuala Lumpur ke flat berkenaan pada 30 Jun lalu.


Hasil pemeriksaan mendapati JMB Hicks Flat masih tidak mematuhi arahan yang telah dikeluarkan sebelum ini, sekali gus mendorong pihak berkuasa mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang.

Screenshot 2026 07 03 155944

Susulan itu, DBKL mengeluarkan Notis Kacau Ganggu di bawah Seksyen 82, Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang mengarahkan tindakan pembetulan dilakukan dengan kadar segera.

Pada masa sama, satu kompaun turut dikenakan di bawah Seksyen 47(1)(a), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, selain satu lagi kompaun di bawah Seksyen 82(5), Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana gagal mematuhi arahan pembersihan yang telah dikeluarkan.

Artikel berkaitan: Hidup Dalam Flat Kotor Penuh Sampah & Najis, Dua Beranak Dibela JKM

Artikel berkaitan: “Miskin takpe, jgn pengotor” – [VIDEO] Tak Boleh ‘Brain’ Tengok Betapa Kotor Flat di Pulau Pinang Ni, Ada Yang Cadang Saman Setiap Penduduk!

Menurut DBKL, bagi memastikan tahap kebersihan kawasan sentiasa terpelihara serta melindungi kesihatan awam, pihaknya telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan di lokasi berkenaan walaupun tanggungjawab itu sepatutnya dipikul oleh JMB Hicks Flat.

DBKL turut menegaskan bahawa pihaknya akan terus memantau tahap pematuhan semua pihak yang bertanggungjawab dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas sekiranya arahan yang dikeluarkan terus diingkari.

Terdahulu, tular sebuah video yang dikongsikan oleh seorang YouTuber dari Australia memaparkan keadaan kediaman itu uzur, kotor dan berbau busuk sehingga menjadi bualan ramai.

Dakwanya, dia sebelum ini pernah mengunjungi flat berkenaan dan kembali datang untuk melihat sama ada terdapat perubahan di kawasan terbabit.

Difahamkan, sebahagian besar penghuni di flat itu ialah warga asing yang didakwa bekerja di kawasan berhampiran.

Sumber: Sinar Harian, Facebook

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.