Berita baik untuk warga Putrajaya!
Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menerusi agensinya Perbadanan Putrajaya (PPj) memperkenalkan perkhidmatan bas percuma bagi kawasan Putrajaya yang akan mula beroperasi 1 November depan.
Dimaklumkan, perkhidmatan bas percuma ini akan beroperasi merangkumi kesemua bas laluan Nadi Putra sedia ada dan kemudahan bas percuma ini hanya untuk warganegara Malaysia sahaja.
Tan Sri Annuar Musa selaku Menteri di KWP berkata perkhidmatan itu merupakan antara inisiatif di bawah Wilayah Prihatin KWP bagi membantu rakyat mengurangkan beban sara hidup, aktiviti pelancongan dan memudahkan urusan di Putrajaya.
“Pada masa yang sama, kemudahan bas percuma tersebut akan menggalakkan aktiviti pelancongan domestik di Putrajaya yang dapat membantu memulihkan ekonomi setempat.”
Perubahan laluan dan kekerapan bas
Bagi meningkatkan lagi perkhidmatan bas percuma tersebut, beliau berkata laluan dan kekerapan bas Nadi Putra telah dibuat penyusunan semula melibatkan 12 laluan di sekitar Putrajaya.
Laluan perkhidmatan utama iaitu T500 diperkenal yang bermula di Kompleks E dan akan melalui Kompleks-kompleks Kerajaan di sepanjang Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Presint 1 (Kompleks A, B, C, D & E) dan Persiaran Perdana (Presint 2, dan 3) sehingga ke Dataran Gemilang Presint 4.
Untuk kekerapan perjalanan bas pula, dijangkakan setiap 5 minit pada waktu puncak iaitu pada jam 6.30 pagi hingga 9.00 pagi dan 4.00 petang hingga 6.40 petang, setiap 10 minit pada waktu bukan puncak serta 30 minit untuk waktu malam, hujung minggu atau cuti umum.
Manakala bagi 11 laluan perkhidmatan selebihnya akan melalui kawasan perumahan, komersial dan pejabat selain di Presint 1 hingga 4 dengan kekerapan setiap 15 minit pada waktu puncak, 20 minit pada waktu bukan puncak serta 30 minit pada waktu malam, hujung minggu atau cuti umum.
Sumber: Astro Awani
Wah untung la orang Putrajaya dapat bas free. Banyak dapat save duit transport nak pergi kerja lepas ni.
Baca: Stesen MRT Diancam Vandalisme Selepas Baru Seminggu Beroperasi