in

Bapa Tiga Anak M*ut Dit*mbak Di Restoran Makanan Segera, Individu Dedah Keadaan Ketika Kejadian

syaz ft 2026 01 06T101845.349

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Hasrat seorang bapa untuk membeli makanan buat tiga anaknya berakhir dengan tragedi berdarah apabila lelaki itu maut ditembak dalam kejadian ala mafia di sebuah restoran makanan segera di Banting, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa berusia 38 tahun ditemui terlentang di luar premis berkenaan dengan beberapa kesan tembakan serta tompokan darah.


Difahamkan, mangsa ditembak beberapa das oleh suspek yang menaiki motosikal sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.

Artikel berkaitan: Kejadian Temb*kan Di Banting, Seorang Lelaki Maut Ketika Makan Di Restoran

Artikel berkaitan: Tular Video Kes Temb*kan Didakwa Di Klang, Kali Ini Pada Waktu Siang

Seorang ahli keluarga mangsa berusia 31 tahun yang enggan dikenali memaklumkan, mangsa merupakan anak sulung daripada lima beradik dan bekerja sebagai pembekal pengawal keselamatan berlesen di sekitar daerah berkenaan.

Menurutnya, mangsa keluar dari rumah seorang diri sekitar pukul 8 malam untuk membeli makanan buat tiga anaknya yang berusia antara lapan hingga 12 tahun.

“Dia tiada masalah dengan sesiapa dan kami pun tidak tahu punca kejadian ini. Setakat ini, kami masih menunggu laporan lanjut daripada pihak polis termasuk jumlah tembakan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Banting, semalam.

Sementara itu, seorang peniaga buah-buahan yang dikenali sebagai Ani berkata, dia menyangka bunyi letupan yang didengarnya adalah bunga api memandangkan jarak gerainya dengan lokasi kejadian sekitar 50 meter.

“Saya dengar kira-kira tiga bunyi letupan sebelum suasana menjadi kelam kabut. Ada yang menjerit dan tidak lama kemudian polis tiba di lokasi,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi mengesahkan pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu melalui Pusat Respons Kecemasan (MERS) 999 pada pukul 10.05 malam.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan tembakan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis sedang menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti jumlah serta bahagian tubuh mangsa yang terkena tembakan,” katanya.

Tambahnya, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sumber: Kosmo!, X

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.