Seorang bapa yang kehilangan bayi berusia lima hari akibat komplikasi jantung didakwa berdepan halangan ketika ingin menuntut jenazah anaknya di Unit Forensik Hospital Pulau Pinang.
Menurut individu yang membantu waris itu menerusi satu hantaran di Facebook, bapa berkenaan pada awalnya meminta bantuan mendapatkan van jenazah untuk membawa pulang jenazah ke Gunung Semanggol.
Namun beliau menasihatkan supaya jenazah dibawa menggunakan kenderaan sendiri kerana lebih sesuai.
Artikel berkaitan: “Van jenazah pun nak curi” – Lelaki Terlibat Kemalangan Rempuh Lori Lepas Curi Van Jenazah
Artikel berkaitan: “Datang bau yang sangat halus, wangi” – Pemandu Van Jenazah Kongsi Pengalaman Urus Jenazah Nurly Shahirah
“Bagi kes jenazah bayi berusia bawah dua tahun, adalah lebih baik jenazah dipangku dan dibawa pulang menggunakan kenderaan sendiri… penggunaan pengusung atau keranda menjadi kurang stabil dan mudah bergerak,” katanya.
Namun beberapa minit kemudian, bapa itu memaklumkan bahawa staf forensik hanya membenarkan tuntutan jika waris menyediakan van jenazah.
Apabila beliau menghubungi staf berkenaan, mereka menegaskan larangan membawa jenazah menggunakan kereta persendirian atas alasan “berisiko”. Namun apabila ditanya bentuk risiko, staf gagal menjelaskan.
“Secara asasnya bayi tersebut meninggal dunia asbab komplikasi jantung dan bukan penyakit berjangkit… Staf tersebut gagal memberikan alasan yang kukuh selain mengulangi bahawa ia merupakan ‘arahan hospital,” tulisnya.
Selepas memberi amaran bahawa aduan akan dibuat kepada pengarah hospital, barulah waris dimaklumkan bahawa mereka boleh membawa pulang jenazah menggunakan kereta sendiri.
“Alhamdulillah, Allah telah permudahkan urusan bapa yang kini sedang menguruskan jenazah anaknya,” katanya.
Pun begitu, individu itu kemudian memperbetulkan kekeliruan lokasi selepas waris yang keliru memaklumkan hospital lain.
Sumber: Facebook
