Pencarian seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Bandar Puncak Alam pada petang Selasa belum menghasilkan sebarang penemuan.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), mangsa Khairil Izani Khaizalullinordin dipercayai dihanyutkan hingga ke sungai utama.
Pihak bomba memaklumkan, ketiadaan perangkap sampah di laluan longkang yang bersambung ke Sungai Buloh dan seterusnya ke Sungai Selangor antara faktor yang meningkatkan kebarangkalian itu.

“Balik la abey… kami semua tunggu”
Sementara itu, bapa mangsa, Khaizalullinordin berharap agar anak sulungnya itu ditemukan segera.
“Ada longkang dekat kawasan itu yang menjadi tempat budak-budak bermain gelongsor, difahamkan mereka akan turun dan meluncur berulang kali di situ.
“Namun pada hari kejadian, hujan turun dengan sangat lebat menyebabkan air dari kawasan sekitar mengalir deras dan dipercayai terus menghanyutkan anak saya,” katanya.
View on Threads
Khaizalullinordin sanggup mempertaruhkan nyawa meredah longkang sejauh lebih 100 meter dan meredah aliran air bagi menjejaki laluan.
“Saya tidak fikir apa-apa ketika itu, saya hanya ikut laluan air dengan harapan dapat menemui anak saya,” katanya yang terus bergegas ke lokasi dari tempat kerja.

Khaizalullinordin turut berkata, dia reda dan berharap jasad anaknya dapati ditemui secepat mungkin.
Sumber: Sinar Harian
