Sudah lama rasanya kita tidak mendengar sebarang update mengenai kes Zulfarhan bukan?
Dalam prosiding bela diri yang diadakan semalam (22 Disember 2020), seorang tertuduh yang didakwa mencederakan pegawai kadet laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa bapanya ada kebolehan untuk ‘tengok’ siapa yang mencuri komputer riba di universiti itu.
Menurut Free Malaysia Today, Muhammad Ashraf Abdullah, 24, berkata, rakannya yang juga bekas penuntut UPNM, Mohd Syafiq Abdullah telah berjumpa dengannya dan memberitahu yang komputer riba milik Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, tertuduh pertama telah hilang.
Syafiq meminta untuk bercakap dan meminta bantuan ayah saya, Haji Abdullah untuk ‘tengok’ kan siapakah yang mencuri komputer riba tersebut. Ada segelintir rakan-rakan yang tahu bahawa ayah saya ada sedikit ilmu berkaitan perkara ini.
“Syafiq turut memberitahu nama-nama orang yang disyaki iaitu Nazmi, Izzat Amir dan arwah Zulfarhan Osman.
“Saya bersetuju meminta bantuan ayah saya dan pulang ke bilik untuk membuat panggilan telefon,” katanya dalam prosiding tersebut.
Ayah pesan jangan ambil tindakan kerana tiada ‘petunjuk’ jelas
Menurutnya, lepas lebih kurang 30 minit, ayahnya menelefon kembali dan memaklumkan kemungkinan Zulfarhan yang mengambil komputer riba tersebut. Pun begitu, ayah Ashraf tidak memberikan sebarang bukti.
“Ayah saya juga sempat berpesan, supaya jangan mengambil sebarang tindakan memandangkan tiada ‘petunjuk’ yang jelas. Saya akur dengan nasihat ayah dan meminta Syafiq untuk turut akur,” katanya.
Ketika pemeriksaan balas timbalan pendakwa raya, adakah ayahnya menyebut nama (Zulfarhan) saksi itu berkata, ayahnya ada menyebut nama (Zulfarhan) dan Mohd Syafiq tahu mengenai perkara itu, kerana beliau membuat “loud speaker” semasa perbualan telefon dengan ayahnya.
Bila disoal mengapa saksi tidak membuat laporan kepada pihak berkuasa selepas mengetahui Zulfarhan disyaki mencuri, Ashraf berkata, dia mengambil kira pesan ayahnya supaya tidak membuat apa-apa tindakan kerana tiada bukti arwah mengambil komputer riba tersebut.

Terdahulu, Mohd Shafiq memberitahu mahkamah bahawa dia yang mencadangkan kepada Muhammad Akmal Zuhairi untuk menggunakan khidmat pengamal perubatan tradisional sebagai ikhtiar mencari komputer ribanya yang hilang.
Mohd Shafiq yang juga saksi pendakwaan ke-25 memberitahu cadangan itu timbul kerana dia tahu bapa kepada Muhamad Ashraf Abdullah, tertuduh ke-18 yang dituduh mencederakan Zulfarhan Osman, dikatakan mempunyai ‘kelebihan’ mencari barang hilang.
Perbicaraan di hadapan hakim Azman Abdullah akan bersambung pada 28 Disember ini.
Sama-sama kita doakan keadilan dapat dibuktikan bagi kes ini.