Sering kena jeling dengan rakan sekerja, seorang jururawat pergigian di Edinburgh mendapat pampasan lebih kurang £25,000 (kira-kira RM143,000) selepas mahkamah mendapati beliau dibuli di tempat kerja.
Tribunal pekerjaaan memutuskan mangsa, Maureen Howieson, 64, telah berdepan dengan layanan biadab dan diperlekehkan ketika bertugas di sebuah klinik pergigian.
Insiden ini dikatakan berlaku selepas kehadiran seorang ahli terapi pergigian baru, Jisna Iqbal yang didakwa enggan melaksanakan beberapa tugasan dan kerap menjeling mata setiap kali Howieson bercakap dengannya.
Difahamkan, Howieson mempunyai 40 tahun pengalaman dalam bidang pergigian hanya bertugas di kaunter pendaftaran kerana masalah kesihatan, manakala Jisna pula seorang doktor gigi dari India yang belum layak merawat pesakit di United Kingdom.
Insiden yang berlaku di antara mereka juga turut disahkan oleh seorang doktor gigi lain, Daniela Siersch yang mengesahkan Jisna pernah menolak arahan tertentu termasuk membersihkan tandas sebelum pemeriksaan kerana menganggap dirinya bergelar doktor gigi.
Artikel berkaitan: Pekerja Kedai Tayar Maut, Kepala Terhentak Pada Tayar Yang Meletup Ketika Diisi Angin
Artikel berkaitan: “Salah satu cara grounding..” – [VIDEO] Public Health Malaysia Puji Cara Maya Karin Tangani ‘Panic Attack’
Mangsa alami serangan panik dan letak jawatan
Situasi tegang itu menyebabkan Howieson alami serangan panik hingga menangis di tempat kerja sebelum ambil keputusan untuk meletakkan jawatan pada Oktober 2024.
Dalam pada itu, pemilik klinik, Dr Fary Johnson Vithayathil mengaku sudah mengetahui masalah mengenai Jisna sejak awal lagi tetapi gagal bertindak menyelesaikan masalah tersebut.
Susulan itu, Hakim Pekerjaan, Ronald Mackay, mendapati majikan dengan sengaja membiarkan persekitaran kerja bermusuhan berterusan selain melakukan perlanggaran kontrak serius dan pemecatan tak adil terhadap Howieson.
Tambahnya lagi, jaminan yang diberikan kepada Howieson tidak pernah ditunaikan dan perkara ini telah memburukkan lagi keadaan.
Sumber: Sinar Harian