Gejala rasuah di Malaysia boleh dikatakan semakin berleluasa bila kita lihat kes-kes yang berkaitan dengan gejala tersebut di kaca televisyen mahupun di media sosial.
Tidak kira berpangkat kecil ataupun besar, aktiviti jenayah ini tetap ada dan mereka yang tidak mempunyai kesedaran mengenai kesalahan ini mesti akan terjebak secara langsung.
Namun baru-baru ini, ada individu yang mendakwa bahawa antara punca gelaja ini berleluasa dalam komuniti kita berlaku sejak dari rumah?
Individu dakwa gejala rasuah bermula dari rumah
Menurut Sinar Harian, penglibatan mana-mana pihak dalam gejala rasuah yang berleluasa dalam negara ini sebenarnya telah diterapkan sejak di rumah lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia, Nurhayati Nordin mengatakan bibit-bibit rasuah berlaku apabila ibu bapa memberi ganjaran terhadap tanggungjawab yang sepatutnya dilakukan anak-anak.
“Sampai bila anak kemas katil, kita kena bagi hadiah, baca buku bagi hadiah, jadi apa yang akan berlaku apabila tanggungjawab sudah menjadi sesuatu yang perlu dibayar.”
“Adakah nanti tanggungjawab itu sekiranya tidak dilakukan, tiada bayaran, tidak ada orang buat. Selepas itu jika tiada bayaran, mereka tak akan buat walaupun ia adalah tanggungjawab.”
Perkara tersebut telah disebut semasa program Melayu Bermaruah vs. Melayu Rasuah yang dianjurkan Aktivis Sejahtera pada Selasa lalu.
Turut diundang menjadi panelis adalah Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan manakala Pengerusi Aktivis Sejahtera, Asmaalif Adam bertindak sebagai moderator.
Dalam pada itu juga, Nurhayati juga mengatakan bahawa terdapat empat faktor yang mungkin seseorang itu terjebak dengan rasuah iaitu kebolehan, peluang, rasional dan tekanan.
“Penting untuk melihat empat perkara penyebab rasuah dan bagaimana sistem ketahanan diri kita untuk melawan perkara tersebut.”
Kebolehan – kemampuan dalam melakukan rasuah.
Peluang – mempunyai jalan dan peluang untuk melakukan rasuah (sertai organisasi).
Rasional – memilih rasional ketika lakukan rasuah.
Tekanan – mengharapkan pertolongan sehingga menyebabkan individu tersepit dan tiada jalan lain untuk menolak.
Apa-pun ia berbalik juga kepada diri-sendiri untuk melawan rasuah….
Baca: Bekas Menteri Kehakiman China Dihukum Penjara Seumur Hidup Kerana Terima Rasuah Lebih RM 75 Juta