Kalau beberapa hari lalu, seorang peniaga burger dan penjual colek dikenakan kompaun sebanyak RM50,000, nasib yang sama juga menimpa seorang peniaga kedai runcit atas kesalahan beroperasi lebih masa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Harian Metro, Mansah Marjurin, 47 yang berniaga kedai runcit di Jalan Chempaka, Kota Bharu tidak berkemampuan untuk membayar kompaun sebanyak RM50,000 kerana bayaran rumah sudah tertunggak selama 7 bulan dan keretanya juga sudah ditarik pihak bank sejak PKP.
Kedai sudah ditutup tapi tak berkunci jadi punca
Menceritakan apa yang berlaku, menurutnya sekitar jam 11.40 malam, kedainya didatangi oleh 4 orang anggota polis.
Namun pada ketika itu, premis miliknya itu sudah ditutup, tapi hanya pintu kecil saja yang tak berkunci kerana ketika itu ada saudara datang berkunjung.
“Memang saya sudah menutup kedai dengan keseluruhan pintu sudah dikunci, namun jam 10 malam saudara isteri datang berkunjung di kedai dan ketika itu kami sedang berborak di dalam kedai.
Pintu kecil pula dibuka kerana ada anak kecil yang keluar masuk, bukannya untuk pelanggan. Selepas itu saya terkejut apabila anggota polis datang dan bertanyakan kenapa kedai masih beroperasi.
“Saya sudah menjelaskan dengan menunjukkan pintu gril yang ditutup namun tetap disaman dengan jumlah RM50,000,” katanya.
Bapa kepada 3 orang anak yang berasal dari Bukit Tinggi, Klang ini mengakui sangat terkejut melihat jumlah kompaun tersebut kerana pendapatan mereka sekeluarga hanya bergantung dengan jualan kedai runcit dan isterinya juga tidak bekerja.
Sejak malam itu, saya buntu dan tidak mengetahui apa yang perlu dilakukan. Saya juga belum membuat rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah kerana masih dalam suasana terkejut. Mungkin hari ini baru saya pergi membuat rayuan.
“Jika diminta bayar, memang saya tidak mampu, ambillah kedai runcit saya sebagai ganti,” katanya.
Susulan apa yang berlaku, peniaga ini berharap ada pihak tampil membantunya dan dua peniaga lain yang mendapat kompaun yang sama.
Dalam pada itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat memaklumkan, pihaknya mengambil pendekatan untuk meneliti kompaun RM50,000 yang dikenakan terhadap tiga peniaga termasuk peniaga burger terdahulu.
Pihaknya juga akan memanggil semula orang yang dikenakan kompaun (OKK) membabitkan tiga peniaga itu.
Harap adalah pihak yang bermurah hati membantu peniaga ini.
Baca: Selain Neelofa, Caprice & PU Azman, Peniaga Burger Terima 100 Panggilan Mahu Bantu Bayar Kompaun