Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Senawang pagi ini apabila orang ramai menyedari banyak kubur di kawasan berkenaan mengalami mendapan tanah selepas ribut kuat yang melanda malam tadi.
Beberapa gambar dikongsikan pengguna Threads @bongahjamal memaparkan keadaan tanah yang runtuh dan berlubang, terutama di kawasan Lot D dan Lot E, sehingga menampakkan kesan mendapan yang ketara. Kejadian itu mengejutkan ramai, apatah lagi ia melibatkan tempat persemadian insan-insan tersayang.
Menurut laporan Kosmo!, penduduk setempat menitipkan rasa sebak apabila melihat keadaan kubur yang terjejas, malah ada yang berkongsi bahawa mereka tidak menyangka ribut semalam akan memberi kesan seteruk ini.
Artikel berkaitan: “Jenuh memujuk” – Gelagat Pasangan Warga Emas Ketika Musim Banjir Cuit Hati Ramai
Artikel berkaitan: Gali Kubur Semula Untuk Siasatan Jenayah, Ini Penjelasan Mufti
View on Threads
Pihak pengurusan tanah perkuburan merayu agar waris yang mempunyai ahli keluarga dikebumikan di Lot D dan Lot E dapat turun meninjau keadaan kubur masing-masing secepat mungkin.
Mereka turut meminta waris supaya menambak dan meratakan semula tanah yang mendap bagi memastikan kawasan perkuburan kekal terjaga.
Dalam masa sama, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) turut dimohon untuk menyemak keadaan tanah serta menyediakan bantuan sewajarnya memandangkan kejadian ini dipercayai berpunca daripada fenomena cuaca ekstrem yang berlaku malam tadi.
Orang ramai berharap kerja-kerja pemulihan dapat dilakukan segera agar tanah perkuburan kembali teratur dan maruah lokasi persemadian ahli keluarga terus terpelihara.
