Skuad sepak takraw negara akhirnya mencipta detik bersejarah apabila menamatkan kemarau 34 tahun pingat emas acara regu berpasukan lelaki Sukan SEA selepas menundukkan tuan rumah, Thailand, dengan keputusan 2-1 di Gimnasium Nakhon Pathom, Thailand.
Kejayaan ini amat bermakna memandangkan kali terakhir Malaysia meraih emas acara tersebut adalah pada edisi Sukan SEA 1991 di Manila.
Menariknya, ketua jurulatih kebangsaan ketika ini, Ahmad Jais Baharom, turut menjadi sebahagian daripada pasukan negara yang menjulang emas pada edisi berkenaan.

Artikel berkaitan: Penantian 13 Tahun, Malaysia Juara Berganda Sepak Takraw World Cup
Artikel berkaitan: Sukan SEA Kembali Lagi, Ini 5 Negara Yang Kerap Jadi Tuan Rumah Bagi Sukan SEA
Bagaimanapun, laluan ke puncak tidak bermula mudah apabila regu pertama negara terpaksa akur tewas tipis selepas bertarung sengit dalam tiga set.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia ketinggalan sebelum bangkit menyamakan kedudukan menerusi regu kedua yang mempamerkan aksi kemas dan konsisten untuk menundukkan lawan.

Aksi penentuan menjadi kemuncak perlawanan apabila regu ketiga negara mempamerkan semangat juang tinggi, termasuk bangkit daripada ketinggalan besar sebelum menguasai permainan.
Kemasukan pemain gantian turut memberi suntikan tenaga baharu yang akhirnya membantu Malaysia mengesahkan kemenangan dan membawa pulang pingat emas yang dinanti sekian lama.
Sumber: Stadium Astro