Seorang ahli politik dan isterinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas tiga pertuduhan mengedar dan menanam dadah jenis kanabis di rumah mereka, bulan lepas.
Menurut FMT, pertuduhan terhadap Adam Asmuni, 35, dan Lyiana Roslee, 34, dibacakan di hadapan Majistret Normaizan Rahim namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu melibatkan hukuman mati di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, pasangan itu:
- didakwa mengedar dadah jenis kanabis – anggaran berat 1,580.4 gram (1.58 kg)
- didakwa mengedar cecair jenis dadah sama berisi padu 7.86 liter di sebuah rumah di Duta Residensi, Ampang – pada 7.30 malam, 20 Januari lepas
Bagi kedua-dua kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan ketiga:
- didakwa menanam 9 pokok (dipercayai pokok kanabis) di tempat, tarikh dan masa yang sama
Bagi kesalahan itu pula, mereka berdua didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(A)(3) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.
Difahamkan, Adam tidak diwakili peguam manakala isterinya diwakili oleh peguam Nur Mustanir Md Nor. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suriantiazila Muhamad dan mahkamah menetapkan 17 Mac depan bagi tarikh sebutan semula kes serta laporan kimia.
Baca: Bekas Menteri Wilayah Tengku Adnan Tengku Mansor Didapati Bersalah Kes Rasuah RM2 Juta