Pihak berkuasa seperti pegawai polis dan pegawai bomba antara badan beruniform yang paling sibuk ketika bencana banjir berlaku apabila menerima banyak panggilan kecemasan daripada mangsa-mangsa banjir.
Namun, ada segelintir individu yang tidak bertanggungjawab sehingga membuang masa anggota penyelamat dan itulah cabaran yang dihadapi mereka.
Memetik laporan Harian Metro, sebanyak 114 panggilan palsu berkaitan banjir yang diterima pihak polis sepanjang berdepan banjir gelombang pertama di Kelantan, khususnya di Pasir Mas.
Artikel berkaitan: 3 Remaja Mangsa Banjir Pecah Masuk Pejabat Sekolah Jadi PPS, Wang Tunai RM 3,200 Lesap
Malah pada masa sama, kedegilan penduduk enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), walaupun pihak berkuasa sudah tiba untuk proses berkenaan, juga antara yang menyebabkan ramai penduduk terperangkap.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, situasi itu menyebabkan pasukan keselamatan berdepan kesukaran selain membuang masa.
“Bayangkan, kita terima 114 panggilan palsu berkaitan banjir. Ada yang kata terperangkap membabitkan warga emas yang sakit dan macam-macam lagi.
“Malah ada yang memaklumkan penemuan empat mayat disebabkan banjir. Bayangkan keadaan kami untuk pergi ke lokasi yang didakwa mengambil masa beberapa jam.
“Kami terpaksa naik bot turun bot dan terpaksa angkat bot untuk mengesahkan perkara itu. Sedangkan perkara itu tidak wujud sama sekali dan ia sangat dikesali,” katanya.
Tahun paling banyak terima panggilan palsu
Tambahnya lagi, ada keluarga yang berada di luar Kelantan dan tidak boleh menghubungi anak mendakwa anak mereka terperangkap serta mohon diselamatkan.
“Apabila kami pergi, rupanya anaknya sedang bermain bola sepak. Itu antara cabaran yang kami terpaksa hadapi banjir kali ini.
“Tahun ini, panggilan palsu begitu kritikal berbanding banjir sebelum ini. Saya sendiri tidak tahu apa motif mereka sanggup berbuat sedemikian sedangkan kita bersusah payah untuk selamatkan mangsa banjir dengan kekuatan yang tidak mencukupi,” katanya.
Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat panggilan palsu seperti ini lagi kerana ia boleh menyusahkan orang lain dan mengganggu operasi menyelamat mangsa terkesan banjir.
Sumber: Harian Metro