Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam telah memberi peringatan kepada guru-guru Al-Quran dan Fardu Ain akan kemungkinan kehilangan tugas sekiranya mereka enggan mengambil vaksin.
Dalam titah Baginda yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin turut menegaskan yang tindakan yang sama turut akan diambil ke atas pegawai masjid dan surau serta jurunikah yang enggan menerima vaksin.
Menurut laporan terperinci daripada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), seramai 326 orang guru KAFA belum mendapat suntikan vaksin Covid-19. Manakala 95 orang guru KAFA enggan menerima suntikan vaksin berkenaan.
Sementara itu, seramai 59 orang pegawai masjid belum mendapat suntikan vaksin Covid-19, dengan 11 orang lagi enggan berbuat demikian. Manakala, 9 orang jurunikah pula masih belum divaksin dan 6 dikenalpasti enggan menerima vaksin.
Bagi golongan ini yang memilih untuk tidak mahu divaksin, Beta amat dukacita kerana mereka akan membahayakan diri mereka sendiri dan orang ramai. Beta bimbang jika masih ada guru-guru KAFA yang tidak divaksin, ia boleh memudaratkan para pelajar.
Beta ingin mengingatkan kepada guru-guru KAFA yang masih berdegil ini, mereka berdepan kemungkinan tidak dibenarkan untuk meneruskan tugas. Begitu juga kepada pegawai-pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin, mereka juga berhadapan dengan tindakan yang sama.”
Selain itu, Sultan Selangor turut meminta agar pihak berwajib untuk mengambil tindakan ke atas 268 guru sekolah rendah dan 182 guru sekolah menengah di Negeri Selangor yang enggan divaksin.
Baginda turut menyeru rakyat Negeri Selangor untuk tidak khuatir atau ragu-ragu untuk mendapatkan vaksin lebih-lebih lagi isu berkaitan vaksin telah banyak kali disebut dalam khutbah Jumaat dan kenyataan akhbar.