in

10 Artis Terkenal Bakal Cabar Vokal & Kreativiti Di ‘The Hardest Singing Show’

Picture

Astro baru-baru ini mengumumkan sebuah program realiti terbaharu, ‘The Hardest Singing Show’ yang merupakan sebuah program kompetetif yang buat julung kalinya mempertaruhkan ‘showmanship’ sebagai kriteria utama penjurian diikuti dengan vokal barisan peserta yang terdiri daripada penyanyi-penyanyi hebat tempatan.

Bakal ditayangkan di Astro Ria (Saluran 104) bermula 12 Mei, setiap Ahad jam 9 malam, program ‘The Hardest Singing Show’ ini mengetengahkan konsep ‘Kreativiti Luar Limitasi’ dan bakal menguji fizikal, mental dan juga kreativiti para peserta dalam persembahan dan secara tidak langsung turut menguji kualiti vokal para penyanyi terlibat.

Menurut kenyataan media, peserta dikehendaki memberikan satu ‘Wow Moment’ dalam persembahan mereka bergantung kepada idea dan kreativiti masing-masing.

Konsep tambahan ini bakal menjadi faktor penting dalam pemarkahan akhir serta menentukan kedudukan mereka dalam pertandingan sehinggalah minggu terakhir.

Menurut Ketua Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh, pihaknya teruja untuk memperkenalkan program realiti terbaharu ini kepada penonton yang mana buat pertama kalinya mempertaruhkan kehebatan serta keunikan ‘showmanship’ dalam persembahan sebagai elemen utama.

Selain kemantapan vokal yang menjadi tarikan penonton, mereka juga bakal menyaksikan penyanyi-penyanyi kegemaran mereka melakukan persembahan yang luar biasa, mengikut kreativiti dan dalam masa yang sama mengawal kestabilan vokal nyanyian.

Tambah Norzeha lagi, pembaharuan format ini ditambah untuk memberi keunikan kepada rancangan-rancangan nyanyian Astro yang sering mendapat sokongan padu daripada para penonton dan peminat.

Dalam masa yang sama, dia juga yakin ‘The Hardest Singing Show’ bakal memberi pengalaman baharu kepada semua termasuk barisan peserta ternama yang akan bersaing dalam rancangan ini serta barisan juri dan juga hos yang mempunyai penanan hebat dalam industri.

Bakal mendapat tajaan Alha Alfa Cosmetics, penganjuran ‘The Hardest Singing Show’ ini diharapkan bakal menambat hati para penonton dengan keistimewaannya yang tersendiri.

Barisan peserta yang bakal bersaing selama 10 minggu menerusi rancangan pertandingan nyanyian terbaharu Astro ini merupakan 9 peserta individu dan berkumpulan terdiri daripada penyanyi terhebat kini, termasuk Datin Alyah, Zizi Kirana, Ayda Jebat, Kaka Azraff, Stacy, Aisha Retno, Putera Muhammad, Aepul Roza, serta kumpulan penyanyi wanita popular Malaysia, De Fam yang terdiri daripada Azira Shafinaz, Cik Manggis dan Sophia Liana.

Sementara itu, pengacara dan penyampai radio popular, Nabil Ahmad  bakal digandingkan dengan pelawak dan juga penyanyi terkenal Indonesia, Rina Nose. Manakala bangku juri pula disandang oleh barisan penyanyi, komposer dan pengarah professional yang telah lama berkecimpung di dalam industri muzik dan hiburan, termasuk Dato’ Sri Rossa, Edry Abdul Halim dan Zizan Razak.

PENJURIAN & TRIVIA ‘THE HARDEST SINGING SHOW’

• Persembahan setiap peserta menerusi ‘The Hardest Singing Show’ akan diadili 100%
daripada pemarkahan oleh barisan panel juri profesional.

• Juara ‘The Hardest Singing Show’ akan membawa pulang wang tunai bernilai RM150,000
beserta trofi sumbangan Astro.

• Para penonton dan peminat boleh mengundi mana-mana persembahan peserta kegemaran
mereka bagi menentukan pemenang mingguan iaitu “The Hardest Gempak Meter” pada
setiap minggu. Undian boleh dilakukan secara dalam talian menerusi laman rasmi.

• Eksklusif buat rancangan terbaharu ini, Astro turut mengeluarkan lagu tema yang berjudul
‘I’m The Best’ dan lagu tema yang bergenre Pop ini ditulis oleh komposer muda Iqie Hugh.

The Hardest Singing Show’ akan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen CIDB,
Cheras, Kuala Lumpur selama sepuluh minggu bermula 12 Mei 2024, setiap Ahad, jam 9.00
malam menerusi Astro Ria (Saluran 104). Rancangan ini turut boleh distrim menerusi On
Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang lebih fleksibel.