Kemalangan ngeri melibatkan empat bersaudara menaiki motosikal dalam perjalanan ke sekolah di Jalan Kota Bharu – Kuala Krai berhampiran Kampung Pek, Machang, Kelantan meruntun hati ramai.
Kejadian berlaku sekitar 7 pagi apabila motosikal yang dinaiki keempat-empat mangsa melanggar bahagian hadapan sisi sebelah kanan sebuah kereta jenis Honda Jazz dinaiki guru.
Mangsa yang terlibat ialah Muhammad Muskir Rosli, 14, bersama adiknya, Mas Siti Rosnani, 7, serta dua anak saudara mereka iaitu Muhamad Hakikat Abdul Rahman, 9, dan Muhammad Zulhaqif Muhamad Zulkifli, 12.
Menurut Ketua Polis Daerah Machang, Supt Azuhar Md Nor, motosikal berkenaan dari arah Kuala Krai ke Machang telah membelok ke kanan secara tiba-tiba untuk masuk ke simpang di sebelah kanan jalan.


Artikel berkaitan: “Saya maafkan” – Bapa Reda Anak Dir*mpuh Guru, Serah Kepada Polis Jalankan Siasatan
Artikel berkaitan: Kes L*nggar Pelajar Depan Sekolah: Pemandu Van 61 Tahun Mengaku Tidak Bersalah, Lesen Memandu Digantung Serta-Merta
Kaki Mas Siti Rosnani terpaksa dipotong
Memetik portal berita tempatan, Mas Siti Rosnani koma susulan kecederaan dan dipindahkan ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian untuk menjalani rawatan lanjut dan dipantau oleh doktor pakar.
Kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun itu terpaksa menjalani pembedahan memotong kaki kanan hingga ke paras paha bagi mengelak komplikasi serius.
“Kaki kanan anak saudara saya terpaksa dipotong selepas berlaku pembekuan darah selain tisu dan isi daging pada bahagian kaki berkenaan sudah mati, selain mengelakkan komplikasi yang lebih serius terhadap keadaannya,” kata bapa saudara, Nadzri Abdullah.

Sementara itu, Muhammad Muskir Rosli menjalani pembedahan di bahagian kaki kerana tulang paha kanannya hancur dan perlu dimasukkan besi.
Manakala dua lagi mangsa, Muhamad Hakikat dan Muhammad Zulhaqif berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di HSIP, Kuala Krai.
Sumber: Berita Harian
