Indonesia ketika ini muncul sebagai negara yang mencatatkan kes jangkitan COVID-19 dan kematian tertinggi di Asia Tenggara.
Dan ketika republik itu masih lagi bergelut untuk mengekang penularan pandemik tersebut, muncul satu masalah baru apabila ratusan ribu data pesakit COVID-19 dilapor telah bocor dan dijual individu tidak bertanggungjawab ke forum dark web.
CNN Indonesia melaporkan, kesemua data itu dicuri oleh seorang hacker yang berselindung di sebalik nama akaun Database Shopping di forum berkenaan — yang mendakwa kesemua data berkenaan telah dibocorkan sejak 20 Mei lalu.
Antara yang terkandung dalam data tersebut termasuklah perincian penuh mengenai pesakit COVID-19 bermula dari nama, umur, alamat sehinggalah hasil keputusan ujian perubatan.
Malah, segala maklumat seperti tarikh pesakit disahkan dijangkiti dan gejala yang dialami mereka turut terkandung dalam data berkenaan.
Perkara ini mengundang persoalan mengenai tahap keselamatan siber Indonesia, kerana ia jelas telah melanggar hak privasi pesakit setelah kesemua data lengkap mengenai mereka dibocorkan dan dijual di dark web.
Bagaimanapun ketika ini masih belum ada sebarang maklum balas dari kementerian berkaitan, terutama Kementerian Kesihatan republik itu berhubung isu tersebut.