Ketika Norhaeda Azahari dari Kota Bharu keluar ke Pengkalan Chepa kerana ada urusan kerja, dia menerima panggilan telefon kira-kira jam 6 petang berkenaan berita yang mendukacita apabila rumahnya dilaporkan terbakar.
Lebih mengharukan, ibu angkatnya, 70 ekor kucing peliharaan serta 5 ekor anjing liar rentung dalam kejadian di Jalan Tok Guru semalam.
Artikel berkaitan : “Masa bagi bantuan dia rakam” – Individu Dakwa Wakil Parti Politik Minta Balik Bantuan Peti Sejuk Daripada Mangsa Rumah Terbakar
Artikel berkaitan : Rumah Terbakar Di Umbai: Isteri Sempat Kejut Suami Sebelum Rentung
“Saya kehilangan ibu angkat, 70 ekor kucing dan lima anjing sekelip mata”.
Setibanya Norhaedah di rumahnya yang terletak di Jalan Tok Guru, Kota Bharu, Kelantan itu, dia melihat api sedang marak dan terkejut mendengar khabar bahawa ibu angkatnya, Fatimah Mat Said, 89, rentung kerana tidak sempat menyelamatkan diri.
“70 ekor kucing yang dipelihara dan berada dalam sangkar rentung. Lima ekor anjing liar yang sering saya beri makan dan berkeliaran di rumah juga mati. ”

Katanya lagi, ibu angkatnya itu sedang uzur dan matanya tidak boleh nampak dengan jelas biarpun masih boleh berjalan. Jelasnya, sehingga sekarang, dia masih terkejut dengan apa yang berlaku.
“Saya masih terkejut dengan kejadian ini, kerana insan dan semua haiwan kesayangan hilang sekelip mata.”
Dalam kejadian tersebut, mayat Fatimah telah berjaya dibawa keluar oleh pihak polis dan bomba kira-kira jam 8.39 malam selepas operasi memadamkan api dilakukan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Pegawai Bomba Kanan II, Satyuti Satar berkata, pihak bomba menerima panggilan berkenaan kes kebakaran itu sekitar jam 5.58 petang.

“Setibanya di lokasi, kami mendapati rumah tersebut sudah hangus sebanyak 98 peratus. Seramai 27 anggota dikerahkan untuk operasi memadam kebakaran ini.”
Sumber: Sinar Harian
