Beberapa hari lalu, kita digemparkan dengan berita mengenai pasangan pelancong berasal dari Rusia yang didakwa telah memuat naik video dan gambar mereka ketika menceroboh menara Merdeka 118 secara haram.
Seperti yang dijangka perkara itu hangat diperkatakan oleh warganet, sekali gus menjadikan menara kedua tertinggi di dunia itu sebagai tarikan kepada para pelancong luar negara untuk melakukan hal yang sama.
Baru-baru ini, telah tular sebuah video yang memaparkan, seorang youtuber dan rakan-rakannya yang dipercayai berjaya menawan puncak menara Merdeka 118.
Video yang dimuat naik oleh akaun Driftershoots ke laman sosial YouTube itu telah mendapat lebih 17,000 tontonan dan meraih lebih daripada 500 likes dalam masa 10 hari
Individu berasal dari Amerika Syarikat yang dikenali sebagai, Isaac ‘Drift’ Wright itu didakwa telah menunjukkan cara dia dan rakan-rakannya berjaya menjejakkan kaki ke puncak menara tersebut.
“Sebentar tadi, saya dan tiga rakan yang lain telah pergi ke Kuala Lumpur untuk mendaki dan mengambil gambar Merdeka 118, bangunan kedua tertinggi di dunia dengan ketinggian 679 meter. Perjalanan itu panjang dan sukar serta penuh cabaran,” katanya.
Isaac berkata, video ini adalah salah satu cara untuk dirinya meluahkan ekspresi artistik kebebasan dan tidak menggalakkan sesiapa untuk mencipta semula aksi yang di tunjukkan dalam video tersebut.
Dia dan beberapa orang rakan dilihat memakai jaket pembinaan dan topi keledar sebagai penyamaran agar mereka nampak seperti pekerja pembinaan semasa menyelinap masuk ke Merdeka 118.
Menerusi video tersebut, mereka membuka penghadang agar mereka dapat memasuki tangga bangunan untuk mendapatkan akses ke puncak.
Selepas itu juga, mereka memaparkan kejayaan mereka menjejakkan kaki ke puncak bangunan kedua tertinggi di dunia itu.
Menurut laporan New York Times, Isaac ialah seorang bekas tentera Amerika Syarikat yang telah meninggalkan ketenteraan selepas enam tahun berkhidmat.
Selepas itu, dia berasa hilang arah dan berjuang dengan gangguan tekanan kesan daripada pasca-trauma malah pernah terfikir untuk membunuh diri.
Difahamkan, Isaac memanjat bangunan untuk menikmati pemandangan yang berbeza, dan menyedari bahawa itu juga memberikan dia perspektif baru tentang kehidupan.
Sumber: YouTube, mStar, New York Times
Haih.. Lepas sorang, sorang nak panjat menara ni… Korang rasa kenapa?