Dalam pada orang lain sibuk membuat persiapan untuk menunaikan ibadah haji, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh memilih untuk melepaskan impian itu demi menyelamatkan nyawa seorang anak kecil.
Menyedari bahawa pentingnya kesihatan dan nyawa, Dr Akmal bersama isterinya memilih untuk menyerahkan simpanan yang berjumlah RM120,000 kepada keluarga adik Medina yang memerlukan dana untuk menjalani pembedahan hati.
Dalam video yang dikongsikan, Dr Akmal dilihat tenang berbual dengan ibu bapa Medina yang memaklumkan dokumen kelulusan rawatan sudah siap, namun kos rawatan masih belum mencukupi.
Dr Akmal memaklumkan bahawa beliau reda sekiranya belum dipanggil ke Tanah Suci kerana berpandangan menyelamatkan nyawa adalah lebih penting dan ia adalah rezeki kanak-kanak tersebut.
“Jika kita nak beri sesuatu pada orang, berilah apa yang paling kita sayang.
“Rezeki Medina Allah gerakkan saya kumpulkan duit dalam beberapa tahun ni, ingatkan untuk pergi haji tetapi sebenarnya untuk kos rawatan Medina rupanya,” kongsinya di laman Facebook.
Artikel berkaitan: “Masih nak nafi hukuman rotan?” – Dr Akmal Saleh Persoal Pendirian Kementerian Pendidikan
Artikel berkaitan: “Ustaz tak kesian ke?” – ADUN Merlimau ‘Mengamuk’, Setahun Murid Sekolah Belajar Atas Lantai

Difahamkan, adik Medina memerlukan dana berjumlah RM180,000 bagi menjalankan pembedahan pemindahan hati di sebuah hospital di China.
Menurut bapa Medina, pihaknya sudah melaksanakan kutipan sumbangan, namun jumlah yang diperlukan masih tidak mencukupi.
“Duit tak banyak, tapi ada lah saya simpan. Rancang tahun ini dapat pergi haji berdua dengan orang rumah (isteri). Dalam simpanan memang betul ‘ngam-ngam’ RM120,000. Memang ada pakej RM60,000 paling murah. Jadi berdua itu, genaplah RM120,000.
“Mungkin Allah tak panggil saya lagi, duit ini memang untuk Medina. Saya rasa, yang lebih penting nyawa dia,” kata Dr Akmal.
Beliau turut berpesan kepada kedua ibu bapa adik Medina untuk segera menghubungi pihak Yayasan Nanyang bagi memaklumkan mereka sudah mempunyai dana yang cukup.
“Tak mengapa tahun ni kami tak pergi haji. Jangan stress, saya faham. Sekarang ni kita fikir untuk dia.
“Rezeki ni sebenarnya bukan untuk saya, hakikatnya untuk adik Medina. Ibu jangan risau. Yang penting Medina dapat rawatan. Kita usaha yang terbaik untuk Medina,” ujarnya lagi.
Sumber: Facebook
