Gadis berusia 22 tahun, Miksudiar Aluj, masih lagi trauma biarpun insiden tersesat di dalam hutan Bertam berhampiran Pos Tohoi, Gua Musang pada 2015 selama 47 hari itu telah berlalu selama 11 tahun.
Mengimbau kembali detik hitam yang dialaminya dulu, dia dan rakannya iaitu Norieen Yaakob ada mendengar suara orang-orang yang mencarinya tetapi tidak dapat melihat kelibat mereka.
Artikel berkaitan: Influencer Malaysia Hilang Dalam Hutan Di Bandung Lepas Buat ‘Content’ Paranormal
Artikel berkaitan: Warga Emas Hilang 3 Hari Dijumpai, Dakwa Ikut ‘Budak’ Sehingga Keletihan
“Saya ada dengar suara orang yang mencari kami, tetapi tidak nampak mereka.”

Katanya, sepanjang tempoh kehilangan, mereka langsung tidak dapat melihat pasukan keselamatan atau penduduk kampung yang menjalankan operasi pencarian.
“Sepanjang 47 hari itu, kami langsung tidak melihat kelibat pasukan keselamatan atau orang kampung yang mencari kami, hanya dikelilingi pokok-pokok dalam hutan.”
Kata Miksudiar, trauma yang masih segar dalam ingatannya itu menyebabkan dia tidak lagi memasuki hutan sejak dia ditemukan selamat.
“Trauma sesat dalam hutan selama 47 hari masih segar dalam ingatan saya dan sehingga sekarang sudah 11 tahun tidak masuk hutan. Kalau boleh saya ingin melupakannya.”

Menurut anak kelima daripada lapan orang beradik ini, dia kini menetap di Kampung Gawin, dekat Pos Gob, Gua Musang dan bekerja menanam sayur bersama keluarganya.
“Sehingga hari ini saya masih bermimpi tentang kejadian itu,” ujarnya.
Dalam tragedi berkenaan, Miksudiar pada waktu itu yang berusia 11 tahun dan Norieen pula berusia 10 tahun telah ditemukan selamat tetapi lima yang lain dilaporkan meninggal dunia. Jelasnya, sepanjang berada di dalam hutan, mereka hanya makan daun dan buah hutan.
“Kami hanya makan daun, buah hutan sepanjang menyorok di kawasan sungai dan sesekali keluar apabila terasa lapar.”
Miksudiar ditemukan dalam keadaan kurang zat makanan yang serius dan kehilangan berat badan secara mendadak serta trauma emosi.
Dia kemudiannya menerima rawatan perubatan dan kaunseling di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Sehingga hari ini, dia tidak mengungkit mengenai kejadian tersebut walaupun beberapa kali berjumpa dengan Norieen.

“Saya tidak mahu kenang peristiwa itu, lagipun kami sudah selamat dan bahagia dengan kehidupan sekarang. Norieen sudah berkeluarga dan mempunyai seorang anak.”
Sebagai rekod, pada 23 Ogos 2015 Miksudiar dan Norieen bersama lima lagi rakan Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) cuba melarikan diri dari asrama untuk mengelak diri daripada dihukum selepas mandi di sungai berdekatan sekolah tanpa kebenaran guru.
Ia bertukar menjadi tragedi yang menggemparkan seluruh negara dan rata-rata menunggu perkembangan penemuan mereka dari hari ke hari.
Ketua Polis Kelantan ketika itu, Datuk Mazlan Lazim berkata, kedua-dua mangsa yang selamat ditemukan kira-kira 3.3 kilometer dari pusat operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 12.15 tengah hari ketika berlindung di bawah akar pokok yang bergantungan di tebing Sungai Perias.
Lima rakan mereka yang turut hilang iaitu Ika Ayel, 9; Haikal Yaakob, 8; Sasa Sobrie, 8; Linda Rosli, 8; dan Juvina David, 7, ditemukan meninggal dunia di dalam hutan
Sumber: Sinar Harian
