Seorang wanita dari Singapura telah cuba untuk bunuh anaknya sendiri kerana wajah anaknya mirip muka abangnya yang pernah merogolnya semasa dia kecil dahulu.
Menurut The Straits Times, di antara Januari hingga Julai 2019, wanita ini telah menyuntik anak lelakinya dengan insulin sekurang-kurangnya 13 kali selepas dia tahu, penggunaan dos insulin yang banyak boleh menyebabkan gula dalam darah merosot dan mungkin boleh menyebabkan kematian.
Hasil dari suntikan tersebut, anak lelaki wanita tersebut yang berusia tujuh tahun ketika itu telah mengalami paras gula dalam badan rendah hingga menyebabkan sakit kepala namun dia dapat diselamatkan.
Dirogol oleh abang sendiri
Menurut Timbalan Pendakwa Raya Bhajanvir Singh, ketika tertuduh berusia di antara 9 dan 12 tahun dia telah dirogol oleh salah seorang abangnya.
Perkara tersebut telah terbongkar dan abangnya yang berusia 13 tahun ketika itu telah didakwa dan dijatuhkan hukuman dua tahun penjara untuk pesalah bawah umur.
Selepas menghabiskan hukuman, abangnya ini telah pun berkahwin pada 2018 dan bakal menimang cahaya mata pada tahun berikutnya.
Perkara ini telah menyebabkan wanita ini rasa terganggu dan marah kerana abangnya itu dapat meneruskan kehidupan seperti manusia biasa.
Rancang nak bakar semua orang sebelum bunuh diri sendiri
Ekoran itu, tertuduh telah merancang untuk membunuh tiga anak kandungnya (1 anak lelaki 2 anak perempuan), ibu kandung dan abangnya itu dengan membakar mereka secara beramai-ramai sebelum bunuh dirinya sendiri.
Bagaimanapun, dia tak mahu anak lelakinya itu yang merupakan anak kesayangannya mati dalam kesakitan.
Namun lama-kelamaan dia mula rasa benci selepas merasakan anaknya itu mirip abangnya hingga menyebabkan wanita ini pergi ke Johor Bahru untuk membeli insulin dan belajar cara menggunakannya melalui video di YouTube.
Akibat dari itu, kanak-kanak malang itu telah mengalami sakit kepala teruk, kebas di jari, mual dan foto sensitif.
Dia kemudiannya telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan sekaligus membongkar kegiatan wanita tersebut bila doktor periksa anak lelaki ini tak mempunyai masalah insulin.
Kanak-kanak lelaki tersebut kemudiannya memberitahu pakar terapi yang ibunya telah suntik dirinya dengan “ubat” banyak kali.
Alami sakit mental
Hasil pemeriksaan mendapati, wanita ini mengalami masalah mental termasuk gangguan tekanan selepas trauma (PTSD) dan gangguan keurungan yang teruk hingga menyebabkan dia bertindak sedemikian.
Namun wanita ini tidak dapat dikenal pasti sebagai “tidak waras” semasa melakukan kesalahan tersebut kerana dia sedar akan akibat yang berlaku sekiranya dia menyuntik insulin tersebut ke atas anaknya.
Selepas mengaku bersalah, semalam (5 Mei) wanita ini telah pun dijatuhkan hukuman penjara lima tahun kerana mencederakan anaknya menggunakan racun.
Manakala anak lelaki wanita ini kini mengalami fikiran berulang-ulang, mimpi ngeri mengenai kejadian tersebut dan meluahkan rasa bimbang tentang keselamatannya di masa hadapan. Dia juga turut menunjukkan beberapa simptom PTSD.
Baca: “Dakwa pernah dirogol” – Bapa Disyaki Bunuh Anak Perempuan Berusia 7 Tahun Sebelum Terjun Bangunan