Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan, kerajaan persekutuan telah bersetuju untuk mendedahkan laporan nahas pesawat Sabah Air yang berlaku pada 6 Jun 1976 ini kepada orang awam.
Untuk pengetahuan korang, laporan tentang nahas Tragedi Double Six ini telah dituntut oleh rakyat Sabah serta keluarga mangsa korban sejak 47 tahun lalu.
Orang ramai akan mendapat akses penuh kepada laporan siasatan tersebut pada minggu hadapan dan sebahagian daripada dokumen tersebut akan dikeluarkan dalam masa dua hari.
Hari ini, jemaah menteri mengambil kira pandangan yang dikemukakan oleh rakyat Sabah selama bertahun-tahun dan juga tuntutan dibuat oleh keluarga waris yang ingin maklumat terperinci.
“Ianya selari atau tuntas dasar keterbukaan dan transparency yang diamalkan oleh Kerajaan Perpaduan. Oleh demikian, kita memutuskan bahawa laporan akhir siasatan kemalangan udara pesawat Sabah Air 6 Jun 1976 akan diturun taraf (declassify).”
Ketika nahas ini berlaku, mungkin korang semua masa tu masih kecil lagi atau pun belum lahir pun lagi. Jadi fahamlah ada antara korang yang baru tahu atau dengar pasal Tragedi Double Six ni. So kalau korang nak tahu lebih lanjut pasal nahas ni, jom baca!
Tragedi Double Six: Nahas Pesawat Sabah Air 1976
Pada 6 Jun 1976, satu pesawat GAF Nomad telah terhempas ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI).
Pesawat kecil dengan enjin berkembar ini telah membawa seramai 11 penumpang dan kru termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang.
Ia telah membawa sekumpulan menteri dan pegawai kerajaan berjawatan tinggi yang mahu pulang ke Kota Kinabalu dari Labuan selepas menghadiri satu majlis. Pesawat ini dioperasikan oleh Sabah Air iaitu syarikat penerbangan yang berkhidmat untuk negeri Sabah.
Nahas ini telah meragut nyawa kesemua penumpang di dalam pesawat tersebut termasuk beberapa ahli politik Malaysia termasuk Ketua Menteri Sabah pertama Tun Fuad Stephens.
Untuk pengetahuan korang, ketika kejadian berlaku, Tun Fuad baru sahaja dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah selama 53 hari.
Pesawat ini sepatutnya dikendalikan oleh dua juruterbang namun anak Tun Fuad, Johari Stephens yang ketika itu sedang menjalani latihan sebagai juruterbang telah meminta untuk duduk di kerusi pembantu juruterbang dan permintaannya diterima.
Penerbangan yang sepatutnya hanya memakan masa selama lebih kurang 30 minit ini dijadualkan untuk mendarat di Kota Kinabalu pada jam 3.30 petang.
Namun begitu, ada dakwaan mengatakan terdapat masalah komunikasi yang meminta agar pesawat ini untuk pusing dan mendarat melalui arah utara bagi memberi laluan kepada pesawat Malaysia Airlines yang turut mahu mendarat pada ketika itu. Bagaimanapun, perkara ini dinafikan.
Pesawat terhempas
Menurut salah seorang saksi, juga anak salah seorang mangsa korban George Mojuntin, dia dan rakan-rakannya pada ketika itu sedang bermain golf di kawasan berhampiran apabila pesawat tersebut terhempas ke dalam Perairan Sembulan ketika cuba untuk mendarat di BKI.
Pesawat tersebut ketika itu berada pada tinggi 600 kaki dan terbang pada kelajuan 86 knot telah menghampiri lapangan terbang dari arah utara sebelum kelihatan terhenti di udara dengan satu sayap ke bawah.
Pesawat ini telah membuat satu setengah pusingan sebelum terhempas ke dalam air cetek sedalam tiga kaki di Kampung Sembulan.
Masa pesawat terhempas adalah 3:41:27 PM seperti yang direkodkan oleh jam yang terhenti ketika hempasan berlaku. Penduduk kampung di sana melaporkan mereka mendengar bunyi letupan pada jam 3.30 PM.
Adik Tun Fuad, Ben Stephens dan Komisioner Polis, Yusof Khan adalah antara orang terawal yang tiba di tempat kejadian.
Mayat bergelimpangan di lantai kapal terbang. Semuanya hancur dalam cara yang berbeza. Tun Fuad ditemui terbaring dalam keadaan aneh dengan anggota badan yang tak berada di tempatnya. Saya cam dia dari saiz badannya.
Hanya muka Peter Mojuntin yang sempurna dan hanya ada lubang berdarah di belakang kepalanya. Bau darah juga sangat busuk dan anggota saya ada yang sampai hampir pengsan.
Pun begitu, kita berjaya membawa keluar semua mayat dan letakkan di tempat berdekatan supaya dapat membuat pengecaman dengan pantas. Tiada yang terselamat.” – Yusof Khan.
Pada jam 6 petang, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuh Harris Salleh telah membuat pengumuman mengenai tragedi menyedihkan ini kepada seluruh negara.
Tun Fuad dan kumpulannya dalam perjalanan pulang ke Kota Kinabalu dari Labuan apabila Pesawat Nomad Sabah Air yang sedang mendarat telah berpusing dan terhempas. Punca kejadian masih belum diketahui.” – Datuk Harris Salleh.
Datuk Haris kemudiannya menghantar pesanan telefon kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Hussein Onn sebelum Tun Hussein mengeluarkan arahan supaya siasatan penuh dijalankan bagi mengetahui punca tragedi ini berlaku.
Senarai penumpang Tragedi Double Six
- Kapten Ghandi Nathan, juruterbang dan kapten
- Koperal Said, pengawal peribadi Tun Fuad
- Chong Thien Voon, Menteri Komunikasi dan Kerja Raya Sabah
- Darius Binion, Pembantu Menteri
- Datuk Peter Mojuntin, Menteri Kerajaan dan Perumahan Tempatan Sabah
- Datuk Salleh Sulong, Sabah Menteri Kewangan
- Datuk Wahid Andu
- Dr. Syed Hussin Wafa, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negara
- Johari Stephens, pelatih juruterbang Kelab Penerbangan Sabah & anak sulung Tun Fuad
- Tun Fuad Stephens, Ketua Menteri Sabah
- Datuk Ishak Atan, setiausaha sulit Tengku Razaleigh (Menteri Kewangan ketika itu)
Siasatan
Pengeluar pesawat, Government Aircraft Factories (GAF) yang berpangkalan di Australia telah membuat keputusan untuk menjalankan siasatan bagi membuktikan nahas tersebut bukan berpunca dari masalah mekanikal.
Siasatan ini dijalankan dengan kerjasama dari Jabatan Pengangkutan Australia. Empat bulan kemudian, siasatan lengkap telah pun dibuat namun laporan siasatan telah diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi.
Menurut kenyataan rasmi, kesilapan dari juruterbang dan muatan terlebih adalah antara punca yang menyebabkan pesawat tersebut terhempas.
Dengan keputusan untuk mendedahkan laporan Tragedi Double Six ini, harapnya keluarga mangsa yang terkorban dapat jawapan yang mereka inginkan dan sekaligus menghentikan segala spekulasi dan teori konspirasi mengenai nahas ini.
Kalau korang nak tengok dokumentari pasal tragedi ni, korang boleh tengok dekat bawah ni:
Sumber: Aviation.MY, Wikipedia, Malay Mail
Baca: Sejarah Hitam: Tragedi Batang Kali Ragut Nyawa Kedua Paling Ramai Selepas Highland Towers