Baru-baru ini, khemah biru di pantai Port Dickson telah digantikan dengan payung baru yang lebih estetik iaitu payung pantai seperti di tepi pantai di Bali, Indonesia.
Terkini, pihak Majlis Perbandaran Port Dickson menerusi Facebook telah menjalankan rondaan dan pemantauan di sekitar pantai di daerah itu dan difahamkan, aktiviti perkhemahan tidak dibenarkan di pantai-pantai awam daerah itu.
Selain tidak boleh memasang khemah camping, pengunjung pantai-pantai tersebut juga tidak dibenarkan membuat pembakaran unggun api dan minum minuman keras di tempat awam.
Ketika rondaan dibuat oleh Jabatan Penguatkuasaan MPPD, pihak mereka juga membuat pengumuman secara lisan untuk mengingatkan orang ramai bahawa pemasangan khemah di kawasan pantai adalah dilarang.
Artikel Berkaitan: “Ala-ala di Bali”- MPPD Sedia Payung Pantai Yang Lebih Cantik Di Pantai Telok Kemang, Ganti Khemah Biru
Artikel berkaitan: Mulai 18 November Ini, Tiada Lagi Khemah Biru di Pantai Port Dickson
Walau bagaimanapun, meninjau ke ruangan komen, ada sesetengah warganet yang dilihat tidak bersetuju dengan larangan pemasangan khemah di kawasan pantai Port Dickson.
Ini kerana menurut warganet, khemah kecil yang dipasang oleh pengunjung adalah untuk memudahkan mereka meletakkan barangan yang dibawa agar tidak mudah hilang atau dicuri.
Khemah itu juga akan memudahkan mereka untuk menukar baju selepas mandi-manda di pantai tanpa perlu beratur panjang di tandas awam.
Namun, dalam masa yang sama, ada juga yang bersetuju dengan peraturan atau larangan aktiviti perkhemahan itu kerana risau aktiviti berkhemah itu boleh menghalang pandangan pengunjung lain untuk melihat pemadangan pantai.
Apa pula pendapat anda tentang peraturan yang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Port Dickson ini?