Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyangkal dakwaan bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) tidak melakukan ujian saringan COVID-19 terhadap mereka yang tidak bergejala.
Namun begitu, beliau akui bahawa ada kemungkinan berlaku kelewatan melakukan ujian terhadap kumpulan berkenaan berikutan pertambahan kes COVID-19 seperti di Selangor dan Sabah.
Tidak benar – Dr Noor Hisham
“Tidak benar apa yang dikatakan iaitu kita tidak melaksanakan ujian kepada kes tidak bergejala. Contoh di Sabah dan Selangor yang banyak kes, keutamaan diberi kepada yang ada gejala, yang tiada gejala, kita nasihat untuk diasingkan.”
Malah, beliau juga menjelaskan bahawa 90 peratus pekerja asing tidak bergejala dan kelewatan itu berlaku kerana pihak KKM mengutamakan mereka yang postif dan bergejala, lapor Astro Awani.
“Kalau lihat saringan PERKESO, pekerja asing, 90 peratus saringan adalah yang tiada gejala, yang ada gejala 10 peratus. Jadi apa yang kita lakukan, ketika kes bertambah, mungkin kelewatan sebab banyak kes. Kita akan utamakan yang positif dan bergejala”
Bagi negeri-negeri lain, petugas KKM masih melakukan pengesanan kontak rapat dan ujian saringan kepada kes-kes yang tiada gejala.
Tambahnya, KKM menjalankan kedua-dua kaedah ujian saringan iaitu RT-PCR dan RTK-Antigen. Ia sudah mulakan sejak bulan Mei 2020.
“Sekarang ini peningkatan penggunaan RTK-Antigen dalam saringan. Namun, di hospital untuk diagnostik clinival kita gunakan RT-PCR.”
Keupayaan makmal swasta dan universiti untuk menjalankan RT-PCR adalah amat penting namun sebab musim perayaan, sumber manusia tidak cukup menyebabkan ujian kurang dijalankan. Malah beliau juga menerangkan bahawa ada kemungkinan orang ramai nak ke makmal swasta berkurangan.
“Ketiga, yang positif mungkin dilaporkan, namun yang negatif tak dimasukkan ke dalam sistem lagi,” tambahnya.
Tambahnya lagi, purata penggunaan RTK-Antigen dan RT-PCR ialah hampir mencecah 41,000.