in

Teka-teki Di Mana Portfolio Seni & Budaya Akhirnya Terjawab, MOTAC Kekal!

Seni Dan Budaya 1

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Sejak penubuhan kabinet kerajaan baru pada minggu lepas, rakyat Malaysia dapat menyaksikan beberapa personaliti baru yang memegang kementerian-kementerian yang ada di dalam kerajaan Malaysia.


Kabinet Malaysia pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini diterajui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta 25 menteri-menteri yang lain.

Antara yang menimbulkan persoalan ialah di manakah letaknya portfolio seni dan budaya kerana sejurus kabinet diumumkan, portfolio yang sepatutnya menjaga warisan seni serta budaya di Malaysia itu tidak disebut dalam mana-mana kementerian.

Perkara itu menimbulkan tanda tanya kepada rakyat Malaysia, khusunya penggiat seni serta mereka yang mencari nafkah dalam bidang tersebut.

Motac

Menerusi Astro AWANI, Tan Sri Johan Jaaffar yang merupakan Tokoh Wartawan Negara meluahkan rasa terkilannya mengenai perkara tersebut.

“Tradisi kebudayaan dan kesenian kita dalam krisis. Kita bukan kurang budayawan dan seniman. Kita kurang dukungan pemerintah dan naungan pihak swasta.

Pimpinan politik kita rata-rata buta budaya dan seni. Pentadbir kita bukan pengurus budaya (cultural managers) seperti sepatutnya. Maka itu seni budaya tidak secukupnya terbela,” tulisnya.

Pun begitu, selepas mesyuarat kabinet yang diadakan semalam, telah ditetapkan portfolio seni dan budaya masih kekal di bawah Kementerian Pelancongan seperti sebelum ini dan kekal dengan nama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Motac 1

Menurut laporan The Star, menterinya Datuk Tiong King Sing berkata tumpuannya bukan sahaja kepada pelancongan, tetapi juga perkara berkaitan seni dan budaya yang merupakan khazanah penting negara.

Beliau turut memberi jaminan untuk melindungi seni dan budaya negara, serta memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada peranan penggiat budaya dan artis dalam pembinaan negara.

“Saya akan pastikan mereka mendapat pengiktirafan atas sumbangan mereka kepada negara seperti dengan memperkenalkan semula Anugerah Seni Negara,” tambahnya.

Selain itu, beliau memberitahu bahawa pihaknya akan terus mengamalkan dasar pintu terbuka dan bersedia mengadakan sesi perbincangan dengan semua pihak bagi memastikan pertumbuhan industri pelancongan, seni dan budaya.

Semoga seni dan budaya kita sentiasa terbela…

Baca: [TERKINI] PM Umum Senarai Barisan Kabinet Baharu Malaysia

Kabinet

Sumber: Astro AWANI

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.