Seorang pelajar perempuan berusia 19 tahun ditemui maut dalam sebuah bilik sewa di sebuah rumah di Jalan Air Putih, Kuantan, Pahang, awal pagi tadi selepas dipercayai dibunuh teman lelakinya.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.32 pagi daripada seorang lelaki yang memaklumkan berlaku pergaduhan antara dia dan teman wanitanya.
“Suspek yang juga berusia 19 tahun sendiri menghubungi pihak polis dan melaporkan berlaku pergaduhan antara dia dengan teman wanitanya itu.”
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, polis menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas katil di sebuah bilik sewa di aras bawah rumah berkenaan.
Pemeriksaan Pakar Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) kemudian mendapati terdapat kesan tekanan pada bahagian leher mangsa dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Artikel berkaitan: Bimbang Kecewakan Ibu Bapa, Pelajar Tingkatan 1 Parah Jat*h Tingkat 3 Sekolah
Artikel berkaitan: “Tertekan dalam pelajaran” – Polis Temui Nota Pelajar Tingkatan 2 Maut Di Bangunan Sekolah
Suspek yang berada di lokasi kejadian kemudiannya ditahan bagi membantu siasatan.
Lelaki berkenaan telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan dan direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik HTAA untuk proses bedah siasat.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan siasatan.
Sumber: Sinar Harian
