“Saya ditahan di bawah seksyen 506” itulah kenyataan seorang bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Lokman Noor Adam ketika ditahan semasa sesi Facebook Live di sebuah restoran miliknya di Kuala Lumpur sekitar pukul 11 malam tadi.
Lokman menerusi penstriman langsung bertajuk ‘Setiap MP bakal disogok RM3 juta peruntukan jika Bajet 2021 diluluskan? Biar Betul?’ memberitahu dia didatangi pihak polis sebelum menamatkan sesi tersebut.
Pada minit-minit akhir video berdurasi 28 minit itu, Lokman dilihat sedang melihat kamera dan mengatakan bahawa beberapa pegawai polis datang menghampirinya.
“Malam ini saya didatangi beberapa anggota polis. Saya tidak tahu apa benda yang mereka mahukan. Jadi saya rasa malam ini cukuplah. Diorang (polis) dah tunggu lama dah,”
Ditahan untuk bantu siasatan
Menurut Astro Awani, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, DCP Mior Faridalathrash Wahid melaporkan penahanan itu dibuat untuk membantu siasatan.
“Lokman ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana penggunaan perkataan kurang sopan,”
Setelah penahanan tersebut, Lokman sempat membuat satu posting di Facebook untuk meminta bantuan peguamnya.
“Mohon hantar peguam ke JSJT (Jabatan Siasatan Jenayah Terkelas) Bukit Aman. Saya ditahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,”
Walau bagaimanapun, sesi Facebook live dan posting tersebut telah dipadamkan.
Apa dah jadi? Takpe kita tunggu update dari pihak polis untuk tahu apa yang berlaku sebenarnya.