Abang kandung kepada isteri suspek kes bunuh bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah, 25 menceritakan bahawa emosi adiknya terganggu sejak mengetahui insiden itu malah, dia menjelaskan setiap hari adiknya menangis.
Jelas lelaki berusia 40-an yang enggan mendedahkan namanya berkata, dia melihat kehidupan adik bongsunya ditemani dengan air mata setiap hari, malah mereka sekeluarga menemani isteri suspek untuk memberikan sokongan moral agar dia tabah melalui hari yang mendatang.
Artikel berkaitan : Keluarga Lantik Peguam Untuk Suspek Kes Bunuh Nur Farah Kartini
Artikel berkaitan : “Silap anak saya, dia ambil tindakan sendiri” – Bapa Suspek Bunuh Nur Farah Kartini
Oleh itu, abangnya meminta orang ramai untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan kerana tekanan yang adiknya alami.
“Sekarang ini adik dah tak boleh lagi bekerja dan perlu menjaga anak perempuan yang masih bayi. Jadi tolonglah dia untuk melalui waktu yang sangat sukar ini.
“Tolonglah bantu adik saya dengan tidak mengeruhkan lagi keadaan ini,” rayunya sambil menyeka air mata ketika ditemui di Pengkalan Batu di sini pada Khamis.
Jelasnya lagi, adiknya berada dalam situasi getir apatah lagi suspek yang dikenali lebih lima tahun lalu disifatkan sebagai seorang suami yang bertanggungjawab, suka membantu dan rajin.
“Demi adik, kami sekeluarga merayu agar orang ramai tidak menyebarkan sebarang berita tidak sahih dan biarkan polis melakukan siasatan mengikut lunas undang-undang.”
“Adik juga terpaksa menjauhi media sosial kerana takut untuk membaca pelbagai andaian dibuat dalam kes ini yang hanya akan memburukkan lagi gangguan emosinya.”
“Orang tak berada di tempat kami, jadi mereka tak tahu bagaimana sakitnya perasaan ini apatah lagi adik saya mangsa keadaan yang langsung tidak bersalah dan tahu apa-apa,” katanya lagi.
Katanya lagi, pegawai kaunseling juga telah hadir ke rumah dan menasihatkan mereka sekeluarga untuk sentiasa menemani adik kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.
“Adik sedang melalui ujian berat lebih-lebih lagi adik perlu memberi perhatian terhadap bayinya,” ujarnya.
Suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber : Sinar Harian