Barang berharga seperti emas dan wang kebiasaannya akan dijaga dengan penuh rapi oleh pemiliknya. Meskipun wang kertas boleh disimpan di rumah sendiri, namun ramai yang memilih untuk menyimpannya di bank atas faktor keselamatan.
Bagaimanapun, bank-bank masih dirompak walaupun dikawal ketat oleh pengawal keselamatan dan kemera litar tertutup. Pasti ada sahaja ‘lubang’ yang ditemui oleh perompak untuk memasuki kawasan yang dikawal ketat ini.
Situasi ini membuatkan kita tertanya-tanya, masih wujudkah tempat di dunia ini yang dikawal dengan begitu rapi sekali?
Selain daripada kediaman pemimpin dunia, sebenarnya masih ada beberapa kawasan yang dikawal dengan ketat. Boleh jadi, semut pun tak lepas nak masuk!
Berikut adalah 5 tempat yang dikawal ketat di dunia pilihan Lobak Merah:
1. Wikileaks Bunker – Sweden
Sekilas pandang, lokasi ini seolah-olah set penggambaran filem James Bond pun ada. Pada tahun 2010, Wikileaks mengalami kebocoran maklumat yang sangat teruk, membuatkan pengasasnya Julian Assange membuat keputusan yang mengejutkan.
Untuk meningkatkan kawalan keselamatan, Julian Assange memindahkan server syarikatnya ke sebuah bunker di Sweden. Bunker ini sebenarnya adalah kawasan nuklear yang terbengkalai, namun dinaik taraf dengan peralatan yang canggih.
Gunung di Vita Berg Park, Stockholm dikorek menembusi bawah tanah untuk pembinaan bilik-bilik khas. Bilik-bilik yang terletak 30 meter di bawah tanah ini kemudiannya digunakan untuk menyimpan server yang menyimpan maklumat syarikat.
Dilaporkan, Wikileaks Bunker ini turut mempunyai pusat bekalan kuasa sendiri yang mampu menjana kawasan ini tanpa perlu bergantung kepada bekalan tenaga luar.
2. Area 51 – Amerika Syarikat
Pasti anda pernah dengan tentang kawasan ini. Area 51 kerap dikaitkan dengan UFO dan makhluk asing, sehinggakan kawasan ini menjadi memes yang sering menjadi bahan jenaka netizen.
Sebenarnya, Area 51 adalah pangkalan Tentera Udara Amerika Syarikat yang menempatkan banyak teknologi canggih mereka. Menurut Central Intelligence Agency (CIA), nama Area 51 diambil daripada nama dalam dokumen ketika Perang Vietnam.
Tidak banyak info yang dilaporkan berkenaan Area 51. Hanya banyak desas-desus yang mengaitkan kawasan ini dengan penciptaan senjata biologi dan markas makhluk asing.
3. Penjara ADX Florence – Amerika Syarikat
Penjara ini digelar sebagai Penjara Supermax, memandangkan penghuni penjara ini terdiri daripada individu berprofil tinggi dan sangat berbahaya. Menurut sumber, penjara ini menempatkan beberapa ahli Al Qaeda dan pengganas terkenal, Ted Kaczynski.
Kawalan di sini sangat ketat dan rapi, sehinggakan bekas pegawal kesalamatan penjara ADX Florence menggelarkan penjara ini sebagai ‘neraka yang bersih’.
Penjara ini mempunyai 6 tahap lapisan keselamatan, antaranya adalah tingkap penjara yang dibina dengan ketebalan 4 inci. Boleh lihat rajah di bawah untuk gambaran Penjara ADX Florence.
4. Sungai Tumen – Sempadan China, Korea Utara dan Rusia
Mana-mana sempadan negara di dunia ini pasti akan dikawal ketat untuk mengelak daripada dicerobohi oleh orang luar. Sama juga seperti Sungai Tumen yang menjadi sempadan buat negara China, Korea Utara dan Rusia.
Sungai sepanjang 521 kilometer ini memisahkan negara China dan Korea Utara di timur laut Asia, dan juga memisahkan Korea Utara dan Rusia sebelum mengalir ke Laut Jepun. Lebih menggerunkan, ketiga-tiga negara ini mempunyai kuasa ketentaraan yang sangat kuat.
Sungai Tumen juga merupakan lubuk buat pelarian Korea Utara ke negara seberang. Cuba bayangkan kalau ada yang tertangkap melintasi sungai ini tanpa dokumen yang sah?
5. Parkir Kereta Bold Lane – England
Pada tahun 1974, bangunan ini menjadi kawasan parkir kereta yang normal buat para pengunjung. Namun, keselamatan kawasan ini dicemari dengan mereka yang tiada tempat tinggal dan pengemis.
Lebih parah, sebanyak 161 kes jenayah dilaporkan pada tahun 1997 sahaja yang melibatkan kes rompakan dan jualan dadah. Mungkin kerana terlalu berang dengan rekod yang semakin teruk, pemilik kawasan parkir ini meningkatkan kawalan keselamatan daripada pelbagai faktor.
Untuk permulaan, kamera litar tertutup dipasang di setiap sisi bangunan. Kemudian, mereka juga memasang sensor untuk mengesan setiap pergerakan yang berlaku. Malah, setiap pengunjung juga akan diberikan tiket yang mempunyai barkod unik untuk tujuan keselamatan.
Tiket ini akan menghidupkan loceng keselamatan apabila pemandu meletakkan kereta di kawasan yang disediakan. Jika berlaku sebarang pergerakan kecil, loceng keselamatan akan dibunyikan secara automatik.
Menurut laporan, kes jenayah di kawasan parkir ini menjadi sifar selepas kawalan keselamatan diperketatkan. Cuba bayangkan kalau kucing yang lalu di bawah kereta, boleh kelam-kabut dibuatnya!
Sumber: Unknown Facts
BACA: Digelar Kondominium Tercantik Di Dunia, Ini Kisah ‘The Interlace’ Di Singapura