Dunia politik negara seberang dikejutkan dengan perkhabaran sedih apabila pengasas bersama Gojek yang juga bekas Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Riset, dan Teknologi Indonesia, Nadiem Makarim, dilaporkan telah dijatuhkan hukuman penjara yang sangat berat baru-baru ini.
Menerusi satu hantaran yang tular di laman LinkedIn miliknya, Nadiem meluahkan rasa luluh dan kecewa dengan keputusan mahkamah yang disifatkannya sebagai tidak adil.
Dijatuhkan Hukuman Penjara & Denda Rupiah Yang Sangat Tinggi
Menurut Nadiem, keputusan mahkamah menetapkan beliau bersalah dengan hukuman 10 tahun penjara. Bagaimanapun, hukuman tersebut boleh bertambah lagi selama 5 tahun 6 bulan sekiranya beliau gagal membayar wang restitusi (ganti rugi) yang mencecah jumlah luar biasa, iaitu sebanyak Rp809 bilion (RM184.46 juta).
Artikel berkaitan: Daripada Pengasas Gojek Ke Kerusi Pesalah, Ini Kronologi Kes Rasuah Nadiem Makarim Yang Buat Ramai Terkedu
Artikel berkaitan: “Dia ngomong English macam mat saleh US” – Ramai Cair Dengan Menteri Termuda Indonesia, Nadiem Makarim
“Keputusan sudah keluar, dan ia seburuk yang saya takuti: 10 tahun penjara, ditambah lagi 5 tahun dan 6 months jika saya tidak dapat membayar restitusi Rp809 bilion.
Saya tidak mempunyai wang sebanyak itu dan tidak pernah ada, tidak pernah menyentuhnya. Pihak pendakwa serta hakim tahu tentang perkara ini,” tulisnya.
Jelas Nadiem, ini bermakna secara keseluruhannya beliau bakal berdepan dengan hukuman penjara selama 15 tahun setengah.
Lebih menyedihkan, Nadiem mendakwa bahawa barisan hakim yang mengendalikan kesnya seolah-olah mengetahui bahawa beliau sebenarnya tidak bersalah dalam konflik berkenaan.
“Saya duduk di hadapan para hakim. Tiada seorang pun daripada mereka yang berani memandang tepat ke mata saya. Mereka tahu saya tidak bersalah,” luahnya.
Meskipun terpaksa berdepan dengan ujian yang sangat berat ini, Nadiem menegaskan bahawa beliau tidak akan sesekali menyerah kalah. Beliau nekad untuk memfailkan rayuan dengan segera demi menegakkan kebenaran, selain demi masa depan anak-anak, keluarga, dan negara Indonesia yang amat dicintainya.
Beliau turut menyifatkan situasi yang menimpanya ini sebagai satu bentuk ‘kriminalisasi’ terhadap orang-orang yang tidak bersalah.
Perkongsian Nadiem itu nyata mengundang pelbagai reaksi emosi daripada rakan profesional dan netizen di media sosial, di mana rata-ratanya mengakui berasa sangat sedih, ‘speechless’, dan patah hati membaca luahan jujur daripada figura hebat itu.

Beliau juga sempat menitipkan pesanan memohon doa, suara, dan kekuatan daripada orang ramai untuk terus berjuang.
