Sebuah kawasan kejiranan mewah di Bayan Lepas, Pulau Pinang telah digemparkan dengan penemuan sejumlah bahan lucah dengan sebahagiannya disyaki bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dalam serbuan yang dibuat pihak polis di sebuah rumah, malam tadi.
Menurut Berita Harian, suspek yang juga jurutera berusia 40-an, berada di rumah seorang diri ketika polis melawat rumah tiga tingkat itu manakala isteri dan anak-anaknya sedang bercuti di luar negara.
Artikel berkaitan: “Sudah dikenal pasti” – Polis Buka Siasatan Dalaman Terhadap Anggota Didakwa Tunjuk Isyarat Lucah
Artikel berkaitan: Selebriti BBNU Didakwa Hantar Gambar Lucah, ‘Pancing’ Wanita Guna ‘Dating Apps’?
Suka melihat kerana ‘segar’
Susulan serbuan itu, suspek membawa pihak berkuasa ke tingkat dua yang mempunyai dua komputer, yang mana ditemui sebanyak lebih 2,000 bahan lucah daripada salah satunya.
Suspek pada yang sama memberitahu polis, bahan lucah tersebut disimpan untuk tontonan sendiri dan mengakui suka melihat kanak-kanak kecil kerana ‘segar’. Jijik!
Polis kemudian memeriksa telefon bimbit lelaki tersebut dan merampas komputer, modem dan ‘router’ milik suspek.
Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Bayan Baru dan kes disiasat mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Serbuan di rumah itu adalah sebahagian daripada ‘Op Pedo Bersepadu PDRM-MCMC’ yang diketuai Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman.
Ia dilakukan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menangkap individu disyaki memiliki dan mengedar CSAM.
Ia juga dilakukan susulan siri laporan NST pada minggu lalu mengenai penjualan kandungan lucah buatan Malaysia termasuk CSAM yang kian berleluasa di media sosial dan aplikasi mesej.
Kandungan ini katanya dijual dengan harga serendah RM1 setiap video, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa mengenai keselamatan anak-anak mereka.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian D11 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, dilaporkan berkata, wujud trend yang menunjukkan akses kepada pornografi seperti ini menjadikan pemangsa semakin berani, dengan sesetengahnya cuba menculik kanak-kanak.
Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) memaklumkan kepada NST, penjenayah siber yang terbabit dalam perdagangan CSAM mengeksploitasi teknologi penyulitan canggih untuk mengelak diri daripada ditangkap.
Menurut FBI, Malaysia telah menjalinkan kerjasama dengan agensi itu dan entiti antarabangsa lain untuk memanfaatkan koordinasi operasi secara masa nyata bagi menutup sasaran utama dan berimpak tinggi.
Sumber: Berita Harian