Terkenal dengan teknik urutan tradisional yang diamalkan hampir seluruh dunia, teknik urutan tradisional Thailand adalah teknik urutan yang melibatkan teknik regangan serta tekanan untuk melegakan kesakitan badan dan memastikan peredaran darah lancar.
Baru-baru ini, sekumpulan pemilik premis urutan di Phuket telah mengadakan tunjuk perasaan dan membuat aduan tentang kononnya sebuah premis yang dimiliki oleh warga asing disana telah menawarkan perkhidmatan urutan dengan harga yang tidak masuk akal.
Kira-kira 100 pengurut dan pemilik telah berkumpul di hadapan bangunan Dewan Bandaraya Phuket bagi menyuarakan ketidakpuasan hati mereka seterusnya menghantar bantahan rasmi bagi meminta campur tangan pihak berkuasa tempatan.
Menurut laporan Phuket News, kumpulan ini tidak berpuas hati dengan salah sebuah kedai yang menawarkan perkhidmatan serendah 150 baht (RM18.70) iaitu separuh daripada harga standard yang dikenakan oleh premis lain di kawasan berkenaan.
Kumpulan berkenaan mendakwa Ked, premis urutan yang dimaksudkan adalah kepunyaan warga asing dan menggunakan khidmat tukang urut tempatan bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Difahamkan, undang-undang tempatan tidak membenarkan warga asing terlibat dalam perniagaan urutan bagi mengelakkan harganya jatuh.
“Kami telah beroperasi lebih 10 tahun di sini dan inginkan pengadilan. Bila anda (ditujukan pada kedai) masuk dan tawarkan 150 baht, ini akan menjejaskan perniagaan kami” – Komuniti Kata Karon
Difahamkan kumpulan berkenaan sepakat mengadakan protes berkenaan kerana sebelum pandemik berlaku, harga standard 300 baht (RM37) telah dipersetujui untuk perkhidmatan urutan selama satu jam.
Kumpulan berkenaan mengadakan demonstrasi aman berkenaan selama 40 minit sebelum Gabenor Phuket, Anupap Rodkwan Yodrabam menjemput wakil kumpulan untuk mengadakan perbincangan.
Hasil perbincangan tersebut, gabenor berkenaan bersetuju untuk melawat kawasan yang dimaksudkan dan mengadakan pertemuan dengan pemilik kedai yang merosakkan harga pasaran di sana. Tindakan tersebut mendapat reaksi positif daripada kumpulan pemilik dan tukang urut yang kemudiannya bersurai secara aman.
Sebelum pandemik melanda, premis perniagaan urutan merupakan antara yang pertama dan paling lama diarahkan tutup oleh pihak berkuasa, secara tak langsung ini menjejaskan pendapatan hampir 10,000 tukang urut di Phuket.
Tambah salah seorang wakil, banyak premis telah ditutup gara-gara tiada pelanggan yang rata-ratanya terdiri daripada pelancong. Selain itu, harga 150 baht yang ditawarkan tidak masuk akal kerana kos operasi yang tinggi.
Dalam masa yang sama, mereka juga menekankan sekiranya harga yang diletakkan terlalu murah, ia akan merendahkan nilai urutan tradisional tersebut dari segi khasiatnya secara saintifik di mata pengunjung.
Baca : Viral Guna Gambar Model ‘Seksi’ Potong Rambut, Polis Siasat ‘Salon’ Di Puchong