Baru-baru ini, agak kecoh bila Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat dakwaan yang dia mempunyai sokongan untuk menjatuhkan kerajaan sekarang. Sejak itu, berita mengenai perkara ini masih belum menunjukkan tanda-tanda akan reda.
Terbaru, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang bertitah, rakyat sudah mula bosan dan meluat dengan tindak-tanduk ahli politik yang dilihat sentiasa bercakaran dan bertelingkah dalam merebut kuasa pemerintahan negara.
Menurut Awani, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhammad Munir Bani mengatakan Sultan Sharafuddin berasa dukacita kerana kebanyakan ahli politik seperti tak kisah dengan masalah dan kesusahan yang perlu dihadapi rakyat yang terkesan dengan pandemik ini.
Titah baginda,
Ahli-ahli politik seharusnya bertanggungjawab di dalam memastikan penderitaan rakyat ini sentiasa menjadi keutamaan ketika melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka.
“Kesusahan dan penderitaan rakyat di dalam kehidupan seharian perlu segera ditangani dan diselesaikan dengan mengambil pendekatan drastik dan efektif.”
Sultan Sharafuddin turut meminta semua pihak terutamanya ahli politik untuk sentiasa bekerjasama dan fokus dalam membantu rakyat dan negara untuk menangani masalah penyebaran wabak Covid-19.