Pelawak kontroversi Jocelyn Chia baru-baru ini ada mengumumkan mahu membuat persembahan khas ‘Apology Tour’ bersama rakan ‘seperjuangannya’, Chrissie Mayr di Kuala Lumpur pada Ogos ini.
Terbaharu, Agensi Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) menegaskan pihaknya tidak ada menerima atau meluluskan permohonan persembahan tersebut.
Agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) itu berkata, mana-mana kemasukan bagi artis luar negara atau penggambaran filem asing di Malaysia, permohonan perlu dikemukakan kepada agensi itu sebelum dipertimbangkan untuk kelulusan.
“Sebarang hebahan dan promosi serta jualan tiket tidak boleh dilakukan sebelum memperoleh kebenaran penganjuran program daripada pihak berkuasa termasuklah surat kelulusan daripada Puspal,” katanya.
Terdahulu, pengumuman ‘Apology Tour’ itu mendapat bantahan ramai susulan rakyat Malaysia masih terkesan dengan jenaka kasar mempersenda tragedi pesawat udara MH370 selain memperlekeh negara ini sebagai negara kelas ketiga.
Chrissie pula mengeruhkan lagi keadaan apabila menyatakan sokongan padu kepada Jocelyn dan pada masa sama menghina netizen Malaysia di media sosial. Justeru, rakyat Malaysia meminta kerajaan dan pihak berkuasa bertegas dalam isu ini.
Namun, menjengah ke Instagram Chrissie, dia dilihat tidak mengendahkan kemarahan netizen Malaysia apabila mendakwa sudah menukar lokasi ‘tour’ di Kuala Lumpur selepas lokasi sebelum ini didedahkan sudah lama tidak beroperasi.
Sumber: Kosmo!