Percaya atau tidak pengguna Transit Laluan Ringan (LRT) kini boleh membawa basikal bersaiz penuh ke dalam gerabak tren yang terpilih di Stesen LRT Kelana Jaya, Ampang dan Sri Petaling. Wow dah macam dekat Jepun dah ni!
Makluman ini dibuat bersempena dengan perlaksaan program ‘KL Car Free Morning’ untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memelihara alam sekitar di Kuala Lumpur, lapor NST.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Ir Zohari Sulaiman berkata, penunggang basikal dibenarkan berbuat demikian pada minggu pertama dan ketiga iaitu pada hari Ahad yang bermula pada jam 6 pagi hingga 10 pagi.
“Kami berharap lebih ramai penunggang basikal akan menyertai program ini kerana kami menyokong gaya hidup sihat di kalangan rakyat Malaysia.”
“Tiada caj tambahan untuk mereka yang membawa basikal bersaiz penuh atau basikal yang boleh dilipat ke dalam tren. Dan jikalau ia mendapat respon baik, kami bersedia untuk lanjutkan program ini,” katanya lagi.
Pada April lepas, RapidKL menerusi laman Twitter @MyRapidKL telah menjalankan kajian dalam membenarkan penumpang LRT membawa basikal ke dalam gerabak empat atau enam tren LRT. Menerusi kajian ini, 80 peratus netizen bersetuju dengan cadangan tersebut.
Menurut Zohari, berikutan hasil kajian tersebut, sebuah simulasi bersama Prasarana Cycling Club dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat telah diadakan untuk memastikan keselamatan penumpang dan operasi tren berjalan lancar.
Sungguhpun Rapid Rail membenarkan penumpang membawa basikal bersaiz penuh ke dalam gerabak, penunggang basikal haruslah berhati-hati dan mengikuti undang-undang yang ditetapkan.
“Jikalau tren tersebut penuh, mereka tidak boleh memaksa basikal untuk masuk ke dalam gerabak. Penunggang basikal juga haruslah memasuki tren dari pintu khas di stesen.”
“Bagi laluan Kelana Jaya, mereka hanya boleh menaiki tren empat gerabak sahaja,” kata Zohari.
Terdahulu, hanya basikal lipat sahaja yang dibenarkan masuk ke dalam gerabak LRT di luar waktu kemuncak.
Penumpang yang menunggang basikal dan bercadang untuk membawa basikal lipat bersama dibenarkan untuk menaiki tren selepas waktu kemuncak iaitu pada jam 10 pagi hingga 3 petang, dan juga pada jam 9 pagi hingga 12 pagi hari biasa dan juga mana-mana waktu hujung minggu.
Untuk sebarang maklum balas, anda bolehlah menghantar gambar dan respon anda ke nombor khas Rapid Rail iaitu +6010-7664472.
Semoga program ini berjalan lancar dan pihak Rapid akan lebih memperbaiki kemudahan mereka pada masa akan datang.
Baca: Pengguna Kad MyRapid Perlu Tukar Kepada Kad Baru. Tinggal 25 Hari Lagi!