in

Pelabuhan Klang ‘Mendonia’ – Raih Kedudukan 10 Teratas Pelabuhan Tersibuk Dunia

ft pelabuhan klang

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Malaysia mencatat sejarah baharu dalam sektor maritim apabila Lloyd’s List 2025 mengumumkan Pelabuhan Klang kini berada di tangga kesepuluh dalam senarai Top 100 Ports. Pencapaian ini meletakkannya dalam kelompok 10 pelabuhan kontena tersibuk di dunia buat julung kali.

Kejayaan ini juga menyaksikan Pelabuhan Klang mengatasi kedudukan Hong Kong , sekali gus mencerminkan kekuatan daya saing pelabuhan negara serta mengangkat Malaysia sebagai kuasa maritim terkemuka di rantau ini.


Pada tahun 2024, Pelabuhan Klang telah merekodkan pengendalian kontena sebanyak 14.64 juta TEU, meningkat 4.1% berbanding 14.06 juta TEU pada 2023 dan pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan 8.9% aktiviti import dan eksport, hasil permintaan berterusan terhadap barangan buatan, industri dan pengguna.

Container terminal northport

Walaupun berdepan cabaran global seperti krisis Laut Merah, Pelabuhan Klang kekal berdaya tahan dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan aliran perdagangan antarabangsa dan berdasarkan momentum ini, throughput (jumlah kargo atau kontena yang dikendalikan) dijangka mencecah 14.98 juta TEU pada 2025, mengukuhkan lagi kedudukan pelabuhan ini dalam kalangan hab maritim utama dunia.

Peningkatan Berterusan

Lonjakan ke tangga ke-10 melengkapkan rekod peningkatan berterusan Pelabuhan Klang sejak beberapa tahun lalu. Kedudukannya telah melonjak dari tangga ke-13 pada tahun 2022, ke-11 pada 2023, dan kini ke-10 pada 2025. Kejayaan ini mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh kapasiti, fasiliti dan keupayaan pelabuhan bagi memenuhi permintaan perdagangan global.

Quay Cranes Northport Malaysia

Kemajuan ini turut disokong oleh projek pembangunan infrastruktur yang strategik. Di Westports, pengembangan terminal baharu (CT10-CT17) dijangka menggandakan kapasiti daripada 14 juta TEU kepada 28 juta TEU menjelang 2028.

Sementara itu, Northport sedang menaik taraf Dermaga 9 dan fasiliti lain bagi menyokong operasi kapal lebih besar serta volum pengendalian yang meningkat. Untuk jangka panjang, projek mega Pulau Carey berpotensi meningkatkan kapasiti sehingga 30 juta TEU setahun menjelang 2060, menjadikannya nadi strategi maritim Malaysia pada masa hadapan.

Gabungan Kuasa Maritim Malaysia

Selain Pelabuhan Klang, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) turut menyumbang kepada kekuatan maritim negara dengan mengekalkan kedudukan ke-15 bagi tahun 2023 dan 2024. PTP mencatat lonjakan throughput kepada 12.25 juta TEU pada 2024, iaitu peningkatan 16.9% berbanding 10.48 juta TEU pada 2023.

Kombinasi kekuatan Pelabuhan Klang dan PTP juga menjadikan Malaysia sebagai negara kelima terbesar di dunia dari segi jumlah pengendalian kontena pada tahun 2024, memperkukuh peranan strategik negara di sepanjang Selat Melaka, laluan pelayaran paling sibuk di dunia.

Northport priime

Dalam semangat 68 tahun kemerdekaan Malaysia, pencapaian Pelabuhan Klang menjadi simbol perjalanan negara daripada sebuah pusat perdagangan kepada pelabuhan bertaraf dunia dan kejayaan ini bukan sekadar pencapaian angka, tetapi hasil daripada dasar progresif kerajaan, pelaburan berterusan dalam infrastruktur dan teknologi, serta komitmen bersama untuk mengekalkan daya saing Malaysia di arena global.

Kejayaan ini menyerlahkan tekad Malaysia untuk terus mencapai kecemerlangan dan mengukuhkan kedudukan sebagai kuasa maritim antarabangsa.

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.