Seorang pendaki Malaysia diselamatkan daripada maut selepas seorang malim gunung dari Nepal menariknya keluar dari bawah puncak Gunung Everest dalam misi menyelamat altitud tinggi yang jarang dilakukan.
Gelje Sherpa yang sedang membawa pendaki dari China ke puncak Everest pada ketinggian 8,849 meter itu ternampak seorang pendaki Malaysia berpaut pada tali dan menggigil kerana cuaca sejuk melampau di lokasi yang dikenali sebagai ‘zon maut’ dimana suhu boleh mencecah -30 darjah celcius.
Menurut Sherpa, dia menarik pendaki berkenaan sejauh 600 meter turun dari kawasan ‘balcony’ ke ‘south col’ dalam tempoh sekitar enam jam sebelum seorang lagi malim gunung, Nima Tahi turut bersama bantu menyelamat.
“Kami menyelamatkan pendaki itu dengan ‘sleeping mat’ dan adakala menyeretnya di atas salji atau mendukungnya secara bergilir-gilir ke Kem III,” jelasnya.
Difahamkan, sebuah helikopter kemudiannya tiba di tempat kejadian untuk membawa mangsa dari Kem III setinggi 7,162 meter turun ke ‘base camp’.
Seorang pegawai Jabatan Pelancongan memberitahu ia hampir mustahil untuk meyelamatkan pendaki dari ketinggian seperti itu dan ini adalah sebuah operasi yang jarang dilakukan.
Selain itu, Sherpa turut menyakinkan pendaki China yang dibawanya untuk tidak meneruskan perjalanan ke puncak kerana baginya, misi menyelamatkan mangsa adalah lebih penting.
“Menyelamatkan nyawa adalah lebih penting daripada segala-galanya,” katanya.
Pendaki Malaysia itu kemudiannya mendapatkan khidmat logistik daripada Tashi Lakhpa Sherpa dari syarikat Seven Summit Treks.
Tashi yang enggan mendedahkan nama pendaki berkenaan bagaimanapun memberitahu bahawa mangsa sudah dibawa pulang ke Malaysia pada minggu lalu.
Alhamdulillah misi menyelamat tu berjalan lancar! Syabas dan tahniah kepada malim gunung yang terlibat.
Sumber : Berita Harian, FMT
Baca : Everest Ditutup Isnin Ini, Pencarian Pendaki Hilang Terpaksa Sambung Tahun Depan Jika Belum Jumpa