Dah macam gaya mak-mak marah anak pulak apabila satu daerah di Pakistan ini memutuskan akan block kad SIM penduduk di kawasan itu yang masih belum menerima suntikan vaksin COVID-19.
Lapor Hindustan Times, pendekatan unik itu diambil dalam satu perbincangan di Lahore yang dipengerusikan Menteri Kesihatan Daerah, Dr Yasmin Rashid. Difahamkan, tujuannya adalah untuk memaksa penduduk yang enggan atau masih belum divaksin untuk segera berbuat demikian dalam masa terdekat.
Menurut Dr Rashid, terdapat penurunan dalam kes jangkitan COVID-19 terbaharu di daerah itu susulan program vaksinasi besar-besaran yang dilakukan.
Pun begitu, berdasarkan laporan oleh bahagian kesihatan Punjab menunjukkan daerah itu masih lagi gagal untuk mencapai sasaran vaksinasi COVID-19.
“Sekitar 300,000 penerima vaksin dos pertama tidak hadir untuk mendapatkan suntikan dos kedua sejak program vaksinasi besar-besaran Pakistan yang bermula pada 2 Februari lalu.”
Sementara itu, pegawai di Kementerian Servis Kesihatan Nasional Pakistan (NHS) berkata, pihak kerajaan kini sedang mengenal pasti dan mengkategorikan penduduk yang tidak pernah kembali untuk mendapatkan suntikan dos kedua vaksin COVID-19 pada hari temu janji yang telah ditetapkan.
“Ada kebarangkalian sesetengah daripada mereka ini sudah meninggal dunia sebelum sempat menerima suntikan dos kedua,” katanya.
Tambah beliau lagi, sesetengah penduduk mungkin dijangkiti wabak maut terbabit selepas menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 dan memutuskan untuk tidak mendapatkan suntikan kedua.
Tidak cukup dengan itu, mungkin ada penduduk yang enggan divaksinasi kerana sudah terpengaruh dengan propaganda negatif mengenai suntikan vaksin.
Sumber: Hindustan Times
Baca: “Jauhkan diri dari saya” – Polis India Guna Pelekat Amaran Bezakan Penduduk Belum Divaksin